suria

Rita Rudaini Dedah Lelaki Rapat Dengannya Meninggal Dunia

Rita Rudaini pada majlis rumah terbuka restorannya Rumah Kueh di Kota Damansara, Ahad. Foto RAJA FAISAL HISHAN / The Star

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini mendedahkan pernah rapat dengan seorang lelaki yang disifatkan sebagai tempat dia meluahkan perasaan sepanjang empat tahun bergelar ibu tunggal.

Rita atau nama sebenarnya Rita Rudaini Mokhtar, 40, bagaimanapun berkata, lelaki tersebut sudah meninggal dunia pada April lalu kerana menghidapi penyakit kronik.

"Hubungan kami hanya di alam maya sahaja tapi saya akui dia lelaki paling memahami dan selesa untuk berkongsi perasaan.

"Dia meninggal dunia pada April lalu, kami belum pun sempat bertemu kerana dia tinggal di luar negara," ujarnya kepada mStar Online

Rumah Kueh by Rita Rudaini beroperasi sejak Ramadan lalu.

Rita ditemui pada majlis rumah terbuka dan pelancaran restorannya Rumah Kueh yang terletak di Kota Damansara, di sini, pada Ahad.

Rita turut menjelaskan hubungan selama beberapa bulan dengan lelaki terbabit tidak lebih daripada sekadar teman rapat semata-mata.

"Dia baik dan kami sering berhubung, malah dia ada meluahkan perasaannya yang sukakan saya.

"Tetapi saya sejak awal beritahu bahawa saya tidak mahu berkahwin," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada hatinya sudah terbuka untuk menerima kehadiran orang baharu dalam hidupnya, Rita berkata, tiada lelaki yang berani mendekatinya ketika ini.

Dia tidak menolak jika diberikan jodoh yang sesuai sebagai peneman hidup suatu hari nanti. 

"Buat masa ini saya memang tidak mahu kahwin tapi jika suatu hari nanti Allah beri orang yang baik saya terima.

"Cuma sekarang ini saya rasa tiada lelaki yang berani dekat dengan saya kerana mungkin mereka takut saya heret mereka ke mahkamah," ujarnya.

Rumah Kueh menawarkan lebih 18 jenis kuih muih tradisional yang jarang dijumpai di Kuala Lumpur.

Sementara itu, restoran Rumah Kueh yang sudah beroperasi sejak awal Ramadan lalu menawarkan 18 jenis kuih tradisional tempatan. 

Rita berkata, dia mendapat idea untuk membuka restoran tersebut berikutan kesukaran mendapatkan makanan tradisional di sekitar kawasan berkenaan. 

"Kami ada 18 jenis kuih tradisional yang jarang ditemui lagi terutama di Kuala Lumpur.

"Selain kuih muih, Kedai Kueh ini juga ada menyediakan pelbagai makanan tradisional Melayu. 

"Saya tinggal kawasan Kota Damansara dan kalau nak cari makanan Melayu terutama ulam-ulaman memang agak susah, jadi saya dapat idea untuk buka di sini," ujarnya.

Rita berkata, dia akan menghabiskan masa lapang menguruskan restoran berkenaan jika tidak terikat sebarang penggambaran drama.

Rita Rudaini

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain