PETALING JAYA: Pengacara dan pelawak Isey Fazlisham menjelaskan dia dan isterinya Syuhadaa Syafiqqa Abdul Rashid, 24, masih lagi pasangan suami isteri. Bagaimanapun, Isey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussin, 29, mengakui rumahtangga yang dibina kira-kira setahun empat bulan kini berhadapan dengan masalah. "Kami masih lagi suami isteri, cuma buat masa sekarang kami tinggal berasingan dan dia sekarang berada di Kelantan kerana menguruskan perniagaannya. "Namun, saya akui memang hubungan kami ada masalah sedikit dan buat masa ini kami ingin mengambil masa untuk diri sendiri buat sementara waktu," ujarnya kepada mStar Online. Gambar Isey sambut raya bersama keluarga tanpa isteri menjadi tanda tanya peminat. Isey dihubungi bagi meminta penjelasan tetang status rumah tangga yang didakwa sudah pun berakhir. Pengacara Mentor Milenia itu juga dikatakan tidak lagi memuat naik gambar bersama seperti sebelum ini dan hanya meraikan Aidilfitri bersama keluarga tanpa kehadiran isterinya. Namun, anggota kumpulan Titan ini, enggan mengulas lanjut punca sebenar hubungan tersebut bermasalah. Tambahnya, buat masa ini kedua-dua mereka dalam tempoh untuk muhasabah diri dan sedang memperbaiki hubungan tersebut. "Kami perlu masa dan mencari kelemahan serta dalam usaha untuk memperbaiki hubungan ini. "Saya harap semua mendoakan yang terbaik buat kami," ujarnya. Pasangan ini diijab kabul di kediaman pengantin perempuan di Kampung Bakat, Machang, Kelantan pada 19 Mac 2015 setelah sembilan bulan berkenalan di Instagram.