KUALA LUMPUR: Penyanyi yang terkenal dengan lagu Selingkar Kasih Rem mendedahkan dia sering menerima sapaan peminat wanita di laman sosial yang berhasrat untuk mengenali dirinya dengan lebih mendalam. Rem atau nama sebenarnya Ramzani Kassim, 42, berkata, dia tidak memberi apa-apa harapan kepada setiap gadis tersebut kerana memikirkan tidak mengenali mereka secara dekat selain ada diantaranya mempunyai personaliti misteri. “Benar saya masih single namun saya ada menerima banyak sapaan daripada peminat wanita di laman sosial yang ada di antaranya berhajat untuk menjalinkan hubungan secara lebih serius tetapi saya terpaksa mengabaikannya atas beberapa faktor. Rem belum jumpa gadis idaman. “Agak pelik untuk saya menerima seseorang tanpa mengenali mereka dengan lebih dekat apalagi ada di antara mereka ini berpersonaliti misteri dengan menggunakan gambar orang lain dan perkara ini saya anggap 'permainan' biasa di laman-laman sosial dan saya tidak perlu mengambil serius mengenainya," katanya kepada mStar Online. Sementara itu, Rem ketika ditanya mengenai perancangannya untuk menamatkan zaman bujang memberitahu sejak dulu dia menyerahkan perkara itu kepada Allah dan sekiranya menemui gadis yang menepati ciri-ciri idamannya, dia tidak teragak-agak untuk terus berkahwin. “Di usia sekarang tipulah kalau saya tidak pernah fikirkan soal pasangan hidup namun saya hanya perlu serahkan urusan ini pada Yang Esa kerana dia ada sebaik-baik perancangan untuk kita," katanya. Malah kata Rem, bukan dia tidak mencari namun kebanyakan wanita yang hadir dalam hidupnya hanya sekadar teman biasa di mana mereka ini kelaknya menjadi teman penghibur yang membuatkan hidupnya tidak pernah berasa bosan. “Saya gembira dengan hidup sekarang dan jujur saya katakan saya tidak pernah berasa sunyi kerana di kelilingi kawan-kawan yang sangat menghiburkan,” katanya kepada mStar Online. Di sisi kerjaya seninya, Rem menganggap penyertaannya dalam Gegar Vaganza 3 sebagai satu langkah untuk memperkenalkan dirinya kepada generasi hari ini yang mungkin tahu dengan lagu-lagunya namun tidak mengenali secara lebih jelas siapakah penyanyinya. "Ini antara sebab kepapa saya sertai program Gegar Vaganza 3 kerana ia merupakan platform terbaik untuk artis lama seperti kami tampil mendedahkan identiti di sebalik populariti lagu kami kepada generasi baru," katanya. Gegar Vaganza 3 akan bersiaran mulai 16 Oktober ini di Astro Ria pada pukul 9 malam. Selain itu, dalam perkembangan lain, dia juga sedang dalam proses menyiapkan single terbarunya berjudul Sinar Kasih ciptaan Anuar Razak.