suria

Rossa Antara Juri Tetap, 3 Juara Tawar RM300,000

Penyanyi terkenal Indonesia, Datuk Rossa bakal bertindak sebagai juri tetap program 3 Juara. Foto RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Program realiti terbaharu terbitan TV3 iaitu 3 Juara bakal memperlihatkan penyanyi terkenal Indonesia iaitu Datuk Rossa sebagai juri tetap bagi kategori balada.

Penerbit Eksekutif3 Juara, Muhamad Suffian Che Isa berkata, pemilihan Rossa  kerana kredibiliti penyanyi itu selain ia sebagai gimik untuk menghangatkan musim pertama penerbitan program berkenaan.

"Rossa seperti kita tahu mempunyai pengalaman luas dalam bidang nyanyian selain pernah bertindak sebagai juri dan pengkritik beberapa program di Indonesia.

"Pemilihannya juga adalah sebagai gimik untuk musim pertama dan Rossa boleh menjadi jurucakap untuk 3 Juara di Indonesia dalam mempromosikan peserta dan program ini," katanya.

Antara mereka yang terlibat dalam 3 Juara; dari kiri Edry Hashim, Ajai, Rossa, Noraniza Idris dan Awie.

Suffian ditemui pada majlis memperkenalkan peserta dan barisan juri rancangan itu yang diadakan di sini, Selasa.

Selain Rossa, dua lagi penyanyi yang terpilih sebagai juri adalah Awie (kategori rock) dan Noraniza Idris (irama Malaysia).

Manakala Ajai, Edrie Hashim dan Pak Ngah bertindak sebagai penerbit.

Peserta kategori balada bersama penerbit Ajai dan juri tetap Datuk Rossa.

Pada majlis sama turut diperkenalkan 24 peserta yang bakal berentap menerusi tiga kategori dipertandingkan.

3 Juara bakal bersiaran setiap hari Ahad, 9 malam bermula 16 Oktober ini di TV3.

Dalam pada itu, Suffian berkata,3 Juara bakal menampilkan format sistem liga di mana setiap peserta akan berentap bersama pasangan  dalam kategori sama pada setiap minggu.

Peserta kategori irama Malaysia bersama juri tetap Noraniza Idris.

Peserta katanya akan memungut mata daripada undian penonton, juri tetap dan penerbit bagi melayakkan mereka ke peringkat seterusnya.

"Setiap kategori akan ada lapan peserta dan mereka akan berentap sesama sendiri bagi memungut mata untuk terpilih sebagai dua peserta terbaik sebelum bersaing di peringkat akhir," katanya.

Bercakap lanjut mengenai konsep program itu, Suffian berkata, ia berkonsepkan 'battle' oleh dua peserta dari setiap kategori setiap minggu.


Lapan peserta kategori rock bersama penerbit Edrie Hashim dan juri tetap Awie.

"Setiap minggu peserta dari genre rock sebagai contoh akan berentap dengan pesaing dalam kategori sama.

"Hanya seorang daripada setiap genre akan diumumkan sebagai juara," ujarnya.

Program itu bakal memperlihatkan pelakon Mira Filzah, Ammar dan Issey Titan bertindak sebagai pengacara.

Juara progran berkenaan bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM300,000.
Rossa, 3 Juara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain