suria

Khalifah Lalui Pengalaman Cemas Di Pedalaman

Vokalis Khalifah iaitu Yabang (dua dari kiri) bersama anggota kumpulannya. Foto M AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR:  Kumpulan rock Khalifah melalui pelbagai pengalaman cemas sewaktu mengadakan persembahan di kawasan pedalaman dengan keadaan pentas yang uzur  semata-mata ingin menghiburkan peminat tanpa rasa pilih kasih.

Vokalisnya Yabang atau nama sebenarnya Awang Sulong Oyong, berkata, biarpun ia berlaku beberapa tahun lalu namun pengalaman itu sukar dilupakan kerana ia benar-benar memberi  kesan jika pentas itu roboh.

“Sebagai sebuah kumpulan rock pastinya persembahan kami agak agresif di pentas namun apabila berpeluang membuat persembahan di kampung-kampung, kami harus bersedia dengan pelbagai kemungkinan termasuk keadaan pentas yang uzur dan tidak rata.

“Bagaimanapun pengalaman sebeginilah yang membuatkan jiwa kami rasa begitu dekat dengan komuniti luar bandar sehingga kami tidak kisah bila orang mula melabelkan Khalifah sebagai sebuah band kampung,” katanya.

Khalifah ditemui pada majlis pelancaran album kelima mereka berjudul 'Cerita Kita' yang berlangsung di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, di sini, pada Rabu.

Kumpulan Khalifah ketika membuat persembahan di Hard Rock Cafe.
Kumpulan yang popular menerusi lagu Hang Pi Mana ini turut dianggotai tiga anggota lain iaitu Harry (gitar utama), Mayang (gitar bass) dan Tony (Drum).

Dalam pada itu kata Yabang, biarpun nama Khalifah sering dilabel sebagai sebuah band berjiwa kampung, mereka tetap menyasarkan untuk menjadi sebuah band legenda suatu hari nanti.

“Soal dilabel band kampung kami tidak pernah berkecil hati namun kami tetap memasang impian untuk menjadikan Khalifah sebagai sebuah kumpulan yang boleh menjadi legenda,” katanya.

Berkongsi tentang album terbaru, album yang diberi nama 'Cerita Kita' ini memuatkan 10 buah lagu antaranya Hang Pi Mana, Assalamualaikum Ustazah, Panji Hitam, Shalalala, Jika, Puteri, Kerbau Di Payung, Tiada Esok, Satu Kalimah dan Sebutir Bintang.

Kata album tersebut diberi nama 'Cerita Kita'  adalah kerana setiap daripada lagu dimuatkan mempunyai kisah dan cerita tersendiri yang diilhamkan daripada pengalaman mereka mendekati komuniti desa untuk dikongsikan kepada peminat.
Khalifah

Artikel Lain