suria

Anak Bekas Imam Masjid Negara Antara Peserta 'Pencetus Ummah'

Inilah barisan peserta Pencetus Ummah musim terbaharu. Foto IZZRAFIQ ALIAS.

KUALA LUMPUR: Anak kepada bekas Imam Masjid Negara, Datuk Taib Azamudden Mohd Taib iaitu Akram Ikram antara sembilan peserta yang terpilih bertanding menerusi program Pencetus Ummah musim keempat.

Akram, 27, ketika ditemui berkata, penyertaannya menerusi rancangan tersebut adalah atas dorongan bapanya itu yang melihat rancangan itu sebagai medium terbaik dalam berdakwah.

Akram Ikram.
"Bapa memang menggalakkan saya menyertai program ini kerana ini adalah peluang untuk saya melebarkan dakwah selain beliau melihat Pencetus Ummah sebagai satu trend.

"Cuma pesan beliau saya kena manfaatkan peluang diberikan selain menjaga niat ketika bertanding," katanya kepada mStar Online ketika ditemui majlis sidang media program itu di sini, Rabu.

Untuk rekod, Taib Azamudden berkhidmat sebagai Imam Masjid Negara dari tahun 1987 hingga 1999.

Pencetus Ummah bakal bersiaran bermula 27 Oktober ini, 9 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135).

Tambah Akram, penyertaannya itu juga kerana ingin membantu Pusat Tarbiah Haraki An-Nur yang diusahakan bapanya kerana Pencetus Ummah dapat memberi impak positif.

"Selepas bapa pencen beliau membuka pusat pengajian tersebut dan saya lihat betapa sukarnya untuk mendapatkan dana bagi memastikan operasi terus berjalan.

Barisan hos Pencetus Ummah iaitu Anis Al-Idrus (dari kiri) Azman Syah Alias dan Faizal Ismail.

"Pencetus Ummah saya lihat adalah medan untuk saya membantu memajukan lagi pusat pengajian berkenaan," katanya.

Dalam pada itu, Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, bagi musim terbaharu itu, pihaknya menampilkan beberapa kelainan dari segi format bagi meningkatkan kualiti persembahan serta keberkesanan penyampaian peserta.

Katanya, Pencetus Ummah kali ini memperkenalkan dua segmen perbahasan yang memperlihatkan dua peserta dengan markah terendah akan berdebat dalam menyuarakan pandangan masing-masing.

"Musim ini juga kita ingin lihat keupayaan peserta menjawab menerusi segmen 'soal jawab' yang menekankan kepada pengisian kandungan," katanya.

Musim terbaharu kali ini turut memperlihatkan personaliti radio, Fara Fauzana dan pendakwah terkenal, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menjadi juri tetap bagi mengadili para peserta.

Peserta bersama barisan tenaga pengajar dan produksi Pencetus Ummah.

Manakala penceramah terkenal, Datuk Badli Shah Alauddin akan menggalas tugas sebagai Mudir dan pelakon terkenal, Fauziah Nawi selaku guru persembahan.

Bekas peserta Pencetus Ummah iaitu Azman Syah Alias dan Faizal Ismail pula dipertanggungjawabkan sebagai pengacara Mimbar Pencetus Ummah manakala aktres Anis Al Idrus pula menggalas program Serambi Pencetus Ummah.

Lapan lagi peserta bertanding ialah Muhammad Haris Mohd Ismail, 21, Mohamad Faris Abu Bak (20), Raihan Husni (26) dan Muhammad Rozi Harun (28).

Empat lagi adalah Mohd Affendi Mohamed Nor, 34, Zulkornain Md Rejab (41), Abdul Latif Yahaya (31) dan Nor Hamizi Jamaluddin (41). Juara program ini bakal membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.
Pencetus Ummah, Akram Ikram

Artikel Lain