PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer lagu Katakan, Faizal Tahir meminta orang ramai memberi masa untuk penyanyi baharu seperti Harris Baba memperbaiki kelemahannya sebagai penyanyi. Faizal Tahir atau nama sebenarnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 38, berkata, dia percaya kesungguhan dan matlamat yang ada pada penyanyi baharu itu lebih penting berbanding sekadar suara yang sedap. "Saya tidak tonton persembahannya pada malam Semi Final Muzik-Muzik 31 pada Jumaat lalu, tapi sebelum ini saya ada terima maklum balas tentang suara dia. Tapi bagi saya, dia masih baru dan harus diberi peluang untuk develop menjadi seorang artis yang lebih baik. "Tidak kisah suara penyanyi itu sedap atau tidak kerana yang penting semangat dan matlamat mereka untuk berada dalam industri. Ada artis suara sahaja sedap tapi tiada matlamat, itu pun tidak bagus," ujarnya kepada mStar Online. Faizal Tahir percaya penyanyi baharu boleh perbaiki kelemahan dan menjadi lebih bagus.\ Faizal diminta mengulas tentang nyanyian Harris Baba yang menyanyikan lagu Katakan ciptaan Faizal sendiri telah dikritik kerana suaranya dikatakan gagal memberi impak. Sementara itu, Faizal berkata, selain Harris Baba, dia juga menerima maklum balas yang sama ketika memperkenalkan penyanyi Elizabeth Tan (Lizzy) untuk menyertai industri hiburan tempatan. Bagaimanapun, dia berbangga dengan pencapaian wanita itu yang kini menunjukkan banyak perkembangan dalam industri seni. "Dulu Elizabeth Tan juga dikritik tidak boleh menyanyi, tapi lama kelamaan saya lihat dia semakin bagus dan banyak peningkatan. "Sekarang dia sudah ada pencapaiannya sendiri yang boleh dibanggakan," ujarnya. Sementara itu, diminta mengulas tentang lagu Setia nyanyiannya yang turut bertanding dalam SFMM 3, Faizal berkata, dia tiada masalah apabila lagu itu dibawakan oleh Awi Rafael. Katanya, Awi membawakan lagu tersebut dengan baik dengan caranya tersendiri. "Pada asalnya saya ada pilihan lain, tapi Lizzy yang turut berduet mahu Awi yang membawakan lagu itu dan saya tiada masalah. "Awi bawakan lagu itu dengan caranya tersendiri. Saya juga tiada masalah jika lagu itu dibawakan olehnya jika berjaya melangkah ke Anugerah Juara Lagu 31 akan datang," ujarnya.