PETALING JAYA: Penyanyi Aishah Bujang menjelaskan terdapat salah faham maksud yang ingin disampaikan dalam sebuah temuramah program Muzik-Muzik berkaitan persembahannya menerusi lagu Ada Saja pada Semi Final Muzik-Muzik (SFMM) sehingga menimbulkan kemarahan peminat penyanyi asal lagu itu iaitu Amyra Rosli. Aishah yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia 7 (AF7), ini berkata, dia tidak bermaksud untuk memperkecilkan bakat pelakon wanita itu sebaliknya menganggap dirinya perlu memberikan sebuah persembahan terbaik. "Ramai peminat dia yang marah saya dan anggap saya berlagak ketika menjawab soalan dalam program itu bila saya cakap akan buat lebih baik dari dia (Amyra), makna sebenar ialah bila saya membawa nama dia dalam persembahan itu, jadi saya perlu buat yang terbaik untuk lagu tersebut. "Tiada niat langsung untuk berlagak atau memperkecilkan bakat Amyra kerana saya tahu dia ada kelebihan dan kekuatan tersendiri dalam nyanyian," ujarnya kepada mStar Online. Aishah Bujang. Aishah dihubungi bagi menjelaskan video yang menimbulkan kemarahan peminat-peminat aktres wanita tersebut sebelum persembahan Semi Final Muzik-Muzik (SFMM) yang berlangsung Jumaat lalu. Menerusi video berdurasi 37 minit itu, jawapan Aishah bahawa dia tidak menumpang populariti penyanyi itu kerana dia lebih lama berbanding Amyra berada dalam industri turut dipersoalkan. Jelas Aishah, video tersebut tidak memaparkan kenyataan sebenar yang dijawab berkaitan isu perbandingan populariti antara dia dan Amyra. "Kita faham video itu pendek dan tidak semua boleh masuk apa yang saya cakap, jadi apa yang orang tidak tahu jawapan saya ketika itu ialah saya lebih lama berbanding Amyra, namun populariti yang dikecapi Amyra jauh lebih besar daripada saya. "Saya sendiri sedar tentang perkara itu dan saya bertuah kerana Amyra beri peluang kepada saya untuk berada pada pentas SFMM," ujarnya. Amyra Rosli Sementara itu, Aishah berkata, dia lega dapat menyampaikan lagu Ada Saja itu dengan baik dan cara tersendiri. Katanya, dia berharap dapat membantu lagu itu melangkah ke pentas Anugerah Juara Lagu ke-31 akan datang. Dalam pada itu, bercerita tentang perkembangan kerjaya, Aishah baharu melancarkan single terbaharu berjudul Cinta Dan Luka ciptaan DJ Fuzz. Lagu tersebut merupakan salah satu strategi untuk membuat kemunculan semula selepas sudah lama menyepi daripada industri muzik tempatan.