TAHUN 2016 nampaknya membawa pelbagai tuah kepada penyanyi yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat iaitu Yuna. Selepas album terbaharunya, Chapters dinamakan sebagai 10 antara album R&B terbaik oleh carta Billboard, terkini penyanyi berusia 30 tahun itu tersenarai pada pencalonan awal Anugerah Oskar 2017. Lagu nyanyiannya, On Ghost Ridge adalah antara 91 lagu yang disenaraikan oleh Academy of Motion Pictures Arts and Sciences untul bertanding dalam kategori Best Original Song pada acara berprestij itu. Ditulis oleh Nicholas Pike, lagu tersebut adalah runut bunyi daripada filem 100 Years: One Woman's Fight For Justice. Dalam perkembangan lain, Yuna turut dinamakan sebagai penyanyi Malaysia yang paling banyak lagunya dimainkan menerusi perkhidmatan Spotify diikuti oleh Projector Band, Sufian Suhaimi, Akim & The Majistret dan SonaOne. Manakala single duet bersama Usher, Crush pernah menduduki tangga ketiga carta Adult R&B Billboard. Senarai pendek Anugerah Oskar 2017 bakal diumumkan pada 24 Januari depan manakala acara itu akan berlangsung pada 26 Februari.