KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana memberitahu kesibukan dengan kerjaya seninya sejak kebelakangan ini menjadi antara faktor susuk tubuhnya semakin kurus. Siti Nordiana atau lebih mesra dengan sapaan Nana, 32, berkata, dia tidak menyedari mengenai perkara itu sehingga ditegur oleh peminat dan rakan-rakannya. "Saya sendiri sudah lama tidak menimbang berat badan dan peminat dan rakan-rakan yang menegur kata saya semakin kurus tetapi bagus juga tidak perlu saya bersusah payah untuk diet. "Mungkin kesibukan terhadap kerja sejak akhir-akhir ini menjadi antara sebab mengapa berat badan saya semakin susut tambahan pula sekarang jadual saya padat dengan latihan pementasan teater Dia Semanis Honey Muzikal," katanya kepada mStar Online. Nana bakal muncul dengan teater muzikal pertamanya pada Januari ini. Nana ditemui pada sidang media teater Dia Semanis Honey Muzikal yang diadakan di Istana Budaya di sini, Rabu. Teater arahan Diara Abu Zahar dan Syed Zalihafe Syed Alwee itu bakal dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya bermula 3 hingga 9 Januari depan. Turut menjayakan teater berkenaan adalah Alif Satar, Nadya Syahera, Datin Nina Juren Ahmad Fauzi, Aleeza Shahdan dan Dafi. Dalam pada itu, Nana memberitahu sebagai persediaan menjayakan teater berkenaan, dia berpantang daripada mengambil makanan berkalori tinggi selain mengelak daripada meminum minuman berais. Katanya, dia perlu menjaga kesihatan dan pemakanannya kerana teater muzikal itu nanti bukan sahaja memerlukan dia berlakon tetapi menyanyi secara langsung. "Apabila menyertai teater ini saya harus ambil kira faktor pemakanan dan kesihatan agar lontaran suara, penghayatan dan pergerakan pada malam persembahan nanti dapat dilakukan dengan baik. "Justeru sejak memulakan latihan tiga minggu lalu saya sudah tidak menyentuh makanan pedas, berminyak atau minum minuman berais sebagai persediaan. "Penukaran diet dalam pemakanan juga saya kira ada kena mengena dengan penurunan berat badan saya sejak akhir-akhir ini," ujarnya. Nana dan Alif Satar sekali lagi digandingkan dalam Dia Semanis Honey Muzikal. Bercakap lanjut mengenai Dia Semanis Honey Muzikal, Nana berkata, dia ingin mencabar dirinya melakukan sesuatu yang baharu dalam kariernya memandangkan ini adalah kali pertama dia terlibat dalam pementasan teater. Nana berkata, dia harus memberi kredit kepada pelakon Fauziah Nawi yang banyak membantunya dari segi aspek lontaran vokal dan lakonan di pentas teater. "Saya tiada pengalaman dalam teater dan saya sahut cabaran berlakon teater muzikal ini kerana ingin memperbaiki diri dan melakukan sesuatu diluar kebiasaan saya. "Alhamdulillah Fauziah Nawi banyak membantu saya dari segi aspek teknik lakonan dan lontaran vokal yang betul," katanya. Dalam perkembangan lain, Nana berkata, dia bakal tampil dengan single terbaharu pada tahun hadapan dengan mengetengahkan lagu berkonsepkan tahun 90-an sebagai menunaikan permintaan peminat yang merindui lagu-lagu dari era itu. Selain itu, pelantun lagu Cinta Hanya Sandaran ini juga terus melebarkan sayap perniagaannya dengan mengeluarkan produk gincu pada Januari ini.