PETALING JAYA: Tahun 2016 menyaksikan ramai selebriti menamatkan zaman masing-masing, selain ada juga yang kembali mendirikan rumah tangga selepas perkahwinan sebelum ini gagal. Ada yang mengambil keputusan untuk berkahwin bersama selebriti, ada pula yang lebih memilih pasangan yang bukan golongan di kalangan anak seni. 2016 juga melihat beberapa artis mengadakan majlis secara gilang gemilang dan eksklusif, manakala ada juga yang memilih untuk mengadakan secara sederhana. Akim Ahmad & Stacy Pembukaan tahun 2016 iaitu 5 Februari lalu, pasangan kelahiran program realiti Akademi Fantasia yang bercinta selama enam tahun iaitu Akim Ahmad dan Stacy atau nama Islamnya Ummu Shaikhah Stacy Anam sah sebagai suami isteri. Stacy yang sebelum itu memeluk agama Islam pada Ogos 2015 itu diijab kabulkan di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah. Pasangan ini dinikahkan oleh jurunikah dari Jabatan Agama Islam Sabah iaitu Matlin Dimin. Stacy berwalikan abangnya iaitu Mohd Adam Hakimi Adam. Shaheizy Sam & Syatila Melvin Pada bulan yang sama pelakon Shaheizy Sam dan aktres Syatila Melvin menjawab teka-teki terhadap hubungan cinta mereka apabila mengumumkan untuk berkahwin pada 8 Februari. Sam sah menjadi suami kepada Syatilla hanya dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis yang berlangsung di Bukit Jawi Golf Resort, Nibong Tebal, Pulau Pinang. Majlis tersebut diadakan secara besar-besaran apabila pasangan ini turut mendapat tajaan bernilai RM25 juta. Anzalna Nasir & Mohamad Hanif Aktres Anzalna Nasir dan pasangannya ahli perniagaan Mohamad Hanif Zaki, 28, menjadi suami isteri pada 21 Februari lalu. Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Prof madya Dr Mohd Nasir Ibrahim dalam sebuah majlis di Hotel Seri Pacific. Perkahwinan eksklusif ini dikatakan paling mewah dan meriah malah gaun resepsi pelakon wanita ini turut hangat diperkatakan sehingga seorang wanita Arab Saudi sanggup membayar RM100,000 untuk memilikinya. Raja Azmi & Eddie Penerbit filem Raja Azmi Raja Sulaiman, 57, mengambil keputusan untuk berkahwin semula dengan bekas suaminya Mohd Eddie Ghazali, 48, selepas setahun bercerai. Pasangan ini kembali menjadi suami isteri dengan dua kali lafaz pada 26 Februari lalu dalam sebuah majlis sederhana di surau Taman Sering Ukay, Ukay Pedana, Ampang. Pasangan ini berkahwin kali pertama pada 13 Oktober 2013 dan bercerai pada 11 November 2014 di Mahkamah Rendah Gombak Timur. Sebelum itu, Raja Azmi pernah berkahwin dengan bekas jaguh badminton negara, Datuk Seri Jailani Sidek. Yatt Hamzah & Mohamad Zulfadli Aktres Yatt Hamzah mengumumkan untuk berumah tangga bersama juruvideo Mohammad Zulfadhli Khairuddin, 26, pada 28 Februari. Majlis akad nikah berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam. Yatt sebelum ini pernah berkahwin dengan Abdul Mutalib Shukor pada 29 Mac 2009 namun bercerai dengan talak satu pada 25 Ogos 2015. Mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Suci Hanania Malika Abdul Mutalib berusia lima tahun. Shahrol Shiro & Anna Danisha Pelawak Shahrol Shiro menamatkan zaman dudanya bersama gadis pilihan hati Nor Farhanah atau Anna Danisha pada 19 Mac. Pasangan ini diijab kabul dalam suatu majlis di yang akan dihadiri kaum keluarga dan teman teman rapat. Jihan Muse & Ungku Hariz Pelawak dan pengacara Jihan Muse, 33, berkahwin dengan pelakon Ungku Hariz Faizal, 31, pada 20 Mac lalu. Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Musa Abdul Aziz di sebuah majlis sederhana yang berlangsung di Lmaan Kayangan, Shah Alam. Sementara itu, majlis resepsi pasangan yang bertemakan klasik diadakan pada 27 Mac ini di Menara Naza TTDI, Shah Alam. Hafidz Roshdi & Nurul Shuhada Pelakon kacak Hafidz Roshdi, 22, mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita pilihan hati Nurul Shuhada Mat shukri pada 30 April lalu. Majlis yang tanpa sebarang hebahan media itu diadakan di kediaman wanita terbabit di Perlis. Hafiz mengakui perkahwinan tersebut mengejutkan banyak pihak dan menganggap ia sebagai jodoh yang tidak dapat dielakkan. Majlis dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak sahaja. Hafiz Suip & Nureffy Jasreel Penyanyi Hafiz Suip, 26, menamatkan zaman bujangnya dengan wanita pilihan Nureffy Jasreel Abdullah, 23, pada 14 Mei dengan sekali lafaz. Majlis pernikahan mereka berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Taman Matang Jaya, Kuching, Sarawak. Pasangan ini diraikan pada sebuah majlis resepsi pada sebelah malam di Hotel Pullman, Kuching Sarawak. Adi Putra & Nur Shahida Zolkifly Adi mencetuskan kontroversi apabila foto perkahwinan keduanya tersebar di internet, dia kemudian mengaku bernikah dengan wanita bernama Nur Shahida Zolkifly pada 20 Jun lalu. Dia berkahwin dengan seorang janda anak satu berusia 33 tahun yang merupakan pegawai beruniform sebuah agensi kerajaan. Wanita berkenaan juga merupakan rakan kongsi perniagaan bersama Adi yang dikenali sejak setahun lalu. Aliff Aziz & Bella Astilah Penyanyi lagu Sayang Sayang Aliff Aziz selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Dayang Nabella, 22, pada 9 September 2016. Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan Awang Astillah dalam sebuah majlis pernikahan di Plaza Jelutung, Shah Alam. Aliff atau nama sebenarnya Mohamad Aliff Aziz, 26, menyerahkan mas kahwin sebanyak RM333 kepada Dayang Nabella atau lebih dikenali sebagai Bella Astillah. Majlis tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja tanpa pihak media. Nazim Othman & Bella Dally Pelakon Nazim Othman sah bergelar suami kepada aktres, Bella Dally hanya dengan sekali lafaz pada 10 September lalu. Pasangan itu melangsungkan pernikahan mereka di Hotel Promanade, Kota Kinabalu Sabah yang dihadiri oleh ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan pasangan mempelai. Saharul Ridzwan & Qaabila Deena Emir Ahmad Pelakon Hati Perempuan, Saharul Ridzwan selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada 16 September lalu. Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Mohamed Akir Emir Bin Ahmad Teruki dalam sebuah majlis pernikahan di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin Putrajaya. Majlis tersebut diadakan secara tertutup yang hanya dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat kedua-dua belah pihak sahaja tanpa pihak media. Awie & Sharifah Ladyana Penyanyi rock Awie selamat bergelar suami dengan sekali lafaz kepada wanita pilihannya Sharifah Ladyana Syed Samsuddin pada 7 Oktober lalu. Pasangan ini dinikahkan di sebuah lokasi di Songkhla, Selatan Thailand. Amar Baharin & Amyra Rosli Pasangan romantis dalam drama berjudul Encik Bunga Encik Sombong iaitu Amar Baharin, 31, dan Amyra Rosli, 25 akhirnya diijabkabulkan pada 11 November lalu. Majlis pernikahan diadakan di Hotel Premiera dengan dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua pihak dan rakan terdekat pasangan berkenaan. Mereka dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Rosli Awang disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim. Lufyah Omar & Che Muhammad Hafiz Pelakon Lufya Omar menutup perkahwinan selebriti 2016 apabila selamat bergelar isteri kepada jejaka pilihannya yang juga seorang doktor, Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 26, dengan sekali lafaz pada 26 November lalu. Pasangan ini dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Sheikh Omar Sheikh Abdullah dengan disaksikan Pendaftar Perkahwinan, Perceraian Dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Hazman Hashim.