PETALING JAYA: Sepanjang tahun 2016 juga menyaksikan industri hiburan tanah air kehilangan beberapa permata seni yang banyak berjasa. Pemergian mereka tidak mungkin dapat diganti apabila mengenang kembali jasa dan sumbangan yang mereka berikan sepanjang berada dalam industri. Antara selebriti yang meninggalkan kita sepanjang tahun ini ialah Datuk Adnan Abu Hassan, seniwati Neng Yatimah, Mr Os, Linda Helmi, Datuk Aziz Singah, Tamam Idris, Salleh Deril, Zainal TJ, Arab, Zakaria Yusof dan Tan Sri SM Salim. Adnan Abu Hassan (18 Mac 2016) Komposer terkenal Datuk Adnan Abu Hassan meninggal dunia pada Jumaat, 18 Mac selepas dimasukkan ke Unit Rawaran Rapi (ICU), Hospital Selayang. Allahyarham menghidapi komplikasi pelbagai penyakit termasuklah buah pinggang dan serangan angin ahmar. Dalam kerjaya seninya, Allahyarham banyak menghasilkan lagu artis-artis tempatan khususnya menaikkan nama Datuk Siti Nurhaliza dengan lagunya Jerat Percintaan. Sumbangan besarnya dalam kerjaya seni turut membolehkan beliau diberikan penghargaan berupa Anugerah Wirama dalam Anugerah Industri Muzik ke 17 pada tahun 2010. Neng Yatimah (19 Mac) Seniwati veteran, Neng Yatimah meninggal dunia pada kira-kira jam 10.30 pagi pada 19 Mac lalu di Hospital Khoo Teck Phuat, Singapura pada usia 92 tahun. Allahyarham menghidapi beberapa penyakit termasuk kanser usus tahap serius yang dihadapinya sejak dua tahun lalu. Neng Yatimah atau nama sebenarnya Buntat Ahmad merupakan seorang seniwati filem Melayu tahun 1950-an dan 1960-an yang terkenal sebagai seorang pelakon air mata. Filem-filem lakonan beliau antaranya Air Mata Duyung, Jiran Sekampung, Laila Majnun, Seri Mersing dan Rachun Dunia. Mr Os (8 April 2016) Pelakon dan pelawak Mr Os atau nama sebenarnya Mohd Yusof Abdul Hamid meninggal dunia pada 8 April di Hospital Selayang dekat sini akibat kanser paru-paru. Jenazah Allahyarham akan dibawa pulang di kediamannya di Gombak dan di kebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Permata. Mr Os atau Mohd Yusuf,55, memulakan kerjaya sebagai pelakon filem pada tahun 1986 menerusi filem Balik Kampung. Setahun kemudian beliau diberikan kepercayaan untuk memegang watak utama dalam filem Mr Os dan ketika zaman kemuncaknya, beliau sering digandingkan dengan pelawak Sheila Rusly, Salih Yaakob dan Datuk Aziz Sattar. Linda Helmi (21 Jun 2016) Linda atau nama sebenarnya Norlinda Ahmad meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat komplikasi hati di Hospital Taiping Perak. Allahyarham mencipta nama menerusi drama Pendekar di slot Spektra RTM yang disiarkan pada tahun 90-an. Aziz Singah (2 Julai 2016) Pelakon veteran Datuk Aziz Singah, 74, meninggal dunia di kediamannya di Seri Kembangan, Serdang pada 2 Julai lalu akibat kanser prostat. Allahyarham menghidap kanser prostat sejak beberapa tahun lalu dan sering keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan. Aziz Singah yang popular pada era 1980-an pernah membintangi banyak drama namun lakonannya dalam PJ Holding antara karya yang diingati sehingga ke hari ini. Beliau juga pernah berlakon dalam beberapa buah filem termasuklah Maria Mariana terbitan Skop Productions. Tamam Idris (7 Julai 2016) Pelakon era 1980-an iaitu Tamam Idris meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), dekat sini akibat komplikasi paru-paru. Sepanjang hayatnya Allahyarham aktif dalam drama-drama tempatan dan dikenali menerusi drama adaptasi novel sekolah iaitu Seorang Tua Di Kaki Gunung bersama Mahyon Ismail pada awal 1980-an. Pie (11 Ogos 2016) Pelawak veteran Pie atau nama sebenarnya Shafiee Jaafar, 85, meninggal dunia di rumah anaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 11 Ogos akibat sakit tua. Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak berlakon dalam filem komedi antaranya Nana Tanjung, Anak Mami Kembali, Cinta Rosevilla, Bas Konduktor dan Mami Jarum. Allahyarham juga sinonim bergandingan dengan teman baiknya yang juga berasal dari Pulau Pinang iaitu Maidin. Selain berlakon, Allahyarham pernah menghasilkan album bersama Maidin dan juga M. Sharif. Salleh (dua dari kanan) bersama anggota kumpulan Brothers Mohd Salleh Deril (Brothers) (6 Oktober 2016) Anggota kumpulan nasyid Brothers iaitu Mohd Salleh Mohamed Deril, 40, meninggal dunia pada 6 Oktober lalu di Pusat Perubatan Universiti Malaya, di sini. Pemergian Salleh ketika kumpulannya sedang giat mengadakan latihan untuk konsert 3 Kejora Bersatu di Istana Budaya pada 7 & 8 Oktober. Selain Salleh, Brothers yang terkenal sebagai kumpulan nasyid kontemporari, turut membariskan Syah, Yasin dan Faiz. Arab (Arab dan Aidit) (12 November 2016) Penyanyi Arab yang popular dengan kumpulan duo Arab dan Aidit meninggal dunia di Pusat Perubatan Colombia, Seremban akibat serangan jantung. Arab atau nama sebenarnya Syed Azlan Syed Abu Bakar, 50, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Kuala Lumpur. Kumpulan Arab & Aidit pernah popular sekitar tahun 2005 dengan lagu Bila Bulan Berwarna Biru. Zakaria Yusof (11 Disember 2016) Pelakon yang terkenal menerusi watak antagonis, Zakaria Yusof meninggal dunia pada 11 Disember di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Allahyarham Zakaria, 65, meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan kuman pada paru-paru, buah pinggang dan jantung. Tan Sri SM Salim (29 Disember 2016) Bintang legenda negara, Tan Sri SM Salim menghembuskan nafas terkahir akibat sakit tua pada 29 Disember 2016 di kediaman anaknya di Sering Ukay, Ampang. SM Salim atau nama sebenarnya Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros, 88, mengalami lumpuh sejak 17 tahun lalu dan hanya mengharapkan kerusi roda untuk bergerak. Sepanjang hayatnya, bekas juruhebah RTM bermula tahun 1957 ini banyak menyanyikan lagu-lagu klasik. Antara lagu yang turut popular ialah ialah Pandang-Pandang Jeling-Jeling nyanyian bersama Datuk Siti Nurhaliza dan Satu bersama Zainal Abidin. Semasa hayatnya, beliau pernah menerima Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.