suria

Elfira Loy Buka Peluang Untuk Dipinang

Elfira Loy seronok lalui kehidupan seperti orang biasa. - Foto Instagram Elfira Loy

PETALING JAYA: Pelakon Elfira Loy memberitahu diri sentiasa bersedia menjalinkan hubungan cinta dan berumah tangga, namun belum mempunyai lelaki yang sesuai.

Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 23, berkata, kebanyakan lelaki yang cuba mendekati tidak berjaya membuka pintu hatinya untuk dijadikan sebagai teman istimewa.

"Saya sentiasa bersedia untuk ke fasa seterusnya dalam kehidupan tetapi sehingga kini belum ada lelaki yang sesuai dan benar-benar serius untuk ke arah itu.

"Pada saya kalau lelaki itu betul-betul serius inginkan saya, mereka boleh terus masuk meminang kerana saya bukan seorang yang suka bercinta-cinta," ujarnya kepada mStar Online selepas majlis pelancaran portal beli belah Haqqi, di sini, Selasa.

Elfira mengulas tentang perancangan kehidupan peribadinya selepas kini bergiat aktif sebagai seorang usahawan.

Elfira akui belum jumpa lelaki sesuai - Foto Instagram Elfira Loy

Tambahnya, kerja keras dalam mengusahakan perniagaan yang diceburi bukan bererti dia melupakan keinginan untuk bercinta seperti wanita biasa.

"Ramai orang cakap saya terlalu kerja kuat untuk kejar duit hingga tidak mahu bercinta. Tapi cinta tidak akan datang pun kalau saya duduk sahaja di rumah, lebih baik saya bekerja," ujarnya.

Sementara itu, ditanya tentang perkembangan kerjaya lakonan, Elfira berkata, dia kini menemui kehidupan yang lebih baik.

Jelasnya, dia seronok melalui kehidupan yang bebas seperti manusia biasa.

"Saya temui satu kehidupan baru yang lebih baik. Saya boleh melalui hari-hari saya seperti orang lain kerana kehidupan kecil saya seawal usia 12 tahun saya sudah bekerja sebagai pelakon.

"Bila saya berehat untuk belajar dan kemudian memulakan bisnes, saya rasa seronok. Berlakon bukan kerjaya saya tapi ia adalah minat semata-mata," ujarnya.

Dalam majlis pertunjukkan fesyen berkenaan, Elfira turut menampilkan pakaian muslimah rekaan sendiri di bawah jenama EI by Elfira Loy.
Elfira Loy

Artikel Lain