suria

Peminat Cuba Runtuhkan Rumah Tangga Wawa Zainal & Aeril Zafrel

Wawa Zainal dan Aeril Zafrel sudah melalui pelbagai ujian dalam masa lima tahun bergelar suami-isteri. Foto Instagram WAWA ZAINAL

KUALA LUMPUR: Pelakon Wawa Zainal mendedahkan rumah tangganya dengan pelakon Aeril Zafrel nyaris berantakan gara-gara seorang peminat fanatik lelaki mengaku dia sebagai kekasihnya.

Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 27, berkata, perkara itu berlaku beberapa tahun lalu yang menjadikan mereka lebih mengerti tentang bahaya media sosial.

"Ada peminat yang hantar mesej kepada Aeril secara peribadi dan mengaku dia merupakan kekasih saya sehingga ia menyebabkan kami bergaduh besar kerana lelaki itu.

"Saya kenal dia sebagai peminat, namun saya tidak menyangka dia boleh bertindak melampau dan bertujuan merosakkan rumah tangga kami.

"Perkara itu juga membuatkan saya diserang oleh kekasih lelaki itu yang menuduh saya pula merampas kekasihnya," ujar Wawa kepada mStar Online.

Wawa ditemui pada majlis pelancaran portal membeli-belah Haqqi yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, di sini, Selasa.

Pada majlis tersebut pasangan selebriti popular ini turut dilantik sebagai duta untuk portal barangan muslimah berkenaan.

Aeril Zafrel dan Wawa Zainal bahagia bersama dua anak mereka. Foto Instagram Wawa Zainal.

Dalam pada itu, Wawa bersyukur telah melepasi tempoh lima tahun perkahwinan yang sukar dan penuh ujian.

"Alhamulillah, lima tahun perkahwinan kami lalui agak sukar kerana tempoh itu adalah masa kami untuk membina keserasian dan kepercayaan antara satu sama lain.

"Saya anggap fasa itu sudah lepas dan sekarang tiada lagi cemburu buta dan lebih faham. Bukan senang nak bina persefahaman itu, ia perlu ambil masa," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang hubungan dengan suaminya yang dikata berantakan akibat sikap cemburu, Wawa berkata, dia lebih mengetahui sikap Aeril Zafrel.

"Saya kenal suami saya bagaimana orangnya dan perasaan cemburu atau merajuk itu sudah tiada lagi dalam fasa sekarang.

"Kalau saya merajuk atau dia sudah malas nak layan, pandai-pandailah pujuk diri masing-masing," ujarnya.

Aeril Zafril dan Wawa Zainal berkahwin pada 25 Februari 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Fakharuddin Attar, 3, dan Hayla Maghfirahtul Adzkiyaa yang baharu berusia setahun.

Wawa Zainal, Aeril Zafrel

Artikel Sebelum

Artikel Lain