PETALING JAYA: Pelakon Shima Anuar memberitahu tindakannya memadam foto-foto majlis pertunangannya di Instagram dengan ahli perniagaan Mohd Solih Toha, 41,yang berlangsung pada 17 Disember lalu bukan kerana hubungan mereka bermasalah. Shima atau nama sebenarnya Noor Hashimah Anuar, 27, berkata, ia bagi mengelakkan rasa kurang senang segelintir pihak terhadap ikatan yang baharu dijalinkan itu. "Hubungan saya dan tunang masih elok dan kami bahagia. Saya buang gambar-gambar itu kerana tidak tahan dengan cakap-cakap orang luar yang kurang senang dengan kami. "Saya ambil keputusan untuk padamkan sahaja gambar-gambar itu bagi memuaskan hati semua pihak yang kurang senang. "Selagi belum bernikah saya tidak akan kongsi gambar-gambar kami berdua kerana ia langkah terbaik," ujarnya kepada mStar Online. Pelakon filem Tujuh Petala Cinta ini mengulas tindakannya memadam foto-foto hari pertunangan mereka di laman Instagram baru-baru ini. Sementara itu, Shima berkata, dia bakal mendirikan rumah tangga pada hari ulang tahunnya yang ke-28 pada 8 April depan. Tambahnya, dia tidak mendapatkan sebarang tajaan pada majlis berkenaan berikutan mahu menggunakan duit sendiri untuk majlis istimewa itu. "Insya-Allah, majlis tersebut kami mahu menggunakan duit sendiri sahaja kerana saya lebih selesa. Saya lebih bebas memilih apa yang saya mahu dan terbaik pada majlis tersebut," ujarnya. Sementara itu, Shima berkata, dia sedang menjalani penggambaran sebuah drama 30 episod untuk Hypptv sebelum bercuti panjang bermula 8 Mac nanti. Dia juga bersyukur bakal suami masih membenarkan dan tidak meletakkan sebarang syarat untuk dia terus aktif dalam bidang lakonan. "Dia seorang yang sangat memahami kerjaya saya sebagai pelakon dan menyokong apa keputusan saya. "Saya juga tahu batasan yang perlu dijaga dan sikap bertolak ansur dalam hubungan itu penting bagi memastikan hubungan bahagia," ujarnya.