suria

Azar Azmi Tidak Ralat Lambat Raih Populariti

Azar Azmi tidak ralat kerana kurang popular berbanding rakan-rakannya yang lain. Foto M. AZHAR ARIF

KUALA LUMPUR: Pelakon dan juga bekas finalis Dewi Remaja 2010 iaitu Azar Azmi tidak pernah berasa ralat kerana lambat meraih populariti berbanding rakan-rakannya dalam pertandingan itu.

Azar atau nama sebenarnya Siti Azhar A Azmi, 25, berkata, ada sebab kenapa namanya lambat dikenali berbanding rakan seangkatannya seperti Neelofa, Izaara Aishah, Syatilla Melvin dan Anzalna Nasir.

"Sebenarnya sebelum menyertai pertandingan itu, saya sudah mula berlakon tetapi sebagai pelakon tambahan sahaja dengan bayaran sekitar RM50 sehingga RM100 sekadar mencari pengalaman.

Azar Azmi.

"Tamat Dewi Remaja, saya masih bergiat berlakon namun mula memperlahankan aktiviti kesenian untuk memberi fokus kepada perniagaan pakaian saya 'Azarhof' yang pada ketika itu baru hendak bermula.

"Hampir lima tahun menyepi daripada dunia hiburan di samping melihat kejayaan kawan-kawan lain mula mencipta nama, hati mulai rindu untuk kembali ke dunia lakonan dengan harapan 2017 menjadi permulaan yang baik untuk saya 'buat nama'," katanya kepada mStar Online.

Azar ditemui pada sidang media memperkenalkan drama Syurgaku Tak Sempurna bertempat di Zawara Cafe, Wangsa Melawati, di sini.

Drama 30 episod ini akan disiarkan pada 16 Januari depan menerusi saluran Hypp Sensasi (HyppTV saluran 116) setiap hari Isnin dan Selasa pukul 9 malam.

Selain Shah Iskandar, turut menjayakan drama arahan Michael Ang itu ialah Shah Iskandar, Raja Ilya, Uqasha Senrose, Didie Alias, Mustapha Kamal dan Aedy Ashraff.

Dalam pada itu, kata anak ketiga daripada lima beradik ini lagi, dia masih lagi berhubung dengan beberapa bekas finalis Dewi Remaja terutama Syatilla Melvin yang pernah menjadi sahabat baiknya ketika dalam pertandingan anjuran Majalah Remaja itu.

"Sesekali saya bagai tak percaya bila melihat rakan-rakan sepertandingan sangat berjaya dalam lapangan seni dan mereka turut menjadi inspirasi saya untuk melakukan perkara sama.

Malah kata Azar, dia sebolehnya mahu dikenali sebagai artis yang kurang dikaitkan dengan kontroversi murahan selain tidak mahu dikaitkan dengan mana-mana lelaki buat waktu ini.

"Sejak ibu meninggal pada Oktober tahun lalu, saya tidak rasa sekarang adalah waktu yang tepat untuk memikirkan soal lelaki dan cinta apalagi kerjaya dalam usaha untuk membuat kemunculan semula," katanya.

Sebelum ini figura Azar Azmi dilihat menghiasi slot drama  popular Suri Hati Mr. Pilot (Astro), Mr Boss Miss Stalker (TV3) dan terbaru drama Mukhlis 2 (RTM).
Azar Azmi

Artikel Berikut

Artikel Lain