suria

Syazwan Zulkifly Kesal Digam Sebuah Stesen TV

Syazwan Zulkifly jarang keluar rumah - Foto instagram Syazwan Zulkifly.
PETALING JAYA: Pelakon Syazwan Zulkifly kesal apabila namanya ditolak daripada terlibat dalam drama terbitan sebuah stesen televisyen gara-gara kontroversi bersama bekas kekasihnya pengacara Shenty Feliziana.

Syazwan, 30, berkata, perkara itu diketahui baru-baru ini daripada sebuah produksi yang pada awalnya menawarkan dia untuk terlibat dalam sebuah drama yang bakal disiarkan stesen berkenaan.

"Pada mulanya saya terfikir juga kenapa sudah lama tiada sebarang tawaran drama untuk stesen TV itu dan saya anggap tiada rezeki tetapi baru-baru ini ada produksi yang menawarkan saya untuk terlibat dalam sebuah drama stesen itu.

"Mereka suruh saya datang uji bakat dahulu, kemudian beberapa hari selepas itu mereka hubungi saya dan beritahu nama saya ditolak dengan alasan saya pernah ada masalah dengan staf stesen berkenaan," ujarnya kepada mStar Online.

Barisan pelakon drama 7 Hari Mencintaiku.

Dia ditemui pada majlis sidang media drama 7 Hari Mencintaiku yang di adakan di sini, Rabu.

Syazwan berkata, dia kecewa kerana perkara tersebut merupakan masalah peribadi dan tiada berkaitan dengan kerjayanya sebagai seorang pelakon.

Pelakon terkenal dengan watak antagonis ini pernah mencetuskan kontroversi apabila dia dikatakan memukul bekas kekasihnya itu pada November 2015.

Sementara itu, Syazwan berkata dia kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah berbanding keluar bersosial bersama rakan-rakan.

Kata aktor itu, ia berikutan faktor usia dan kekurangkan rakan yang masih bujang.

"Saya sekarang jarang keluar rumah, jika ada masa terluang saya hanya duduk di rumah sahaja tidak suka melepak seperti dahulu.

"Tiada apa yang ingin dicari, saya tiada kekasih dan kawan-kawan pula banyak yang sudah berkahwin," ujarnya.

Tambahnya, perkara tersebut juga secara tidak langsung menghindarinya daripada terpalit sebarang kontroversi.

Syazwan Zulkifly

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain