KUALA LUMPUR: Pelakon Jaafar Onn mengambil pendekatan menjauhi golongan artis yang disifatkannya sebagai talam dua muka terhadapnya. Jaafar, 66, berkata, pada usianya sekarang dia tidak mahu lagi terlibat dengan 'drama' yang dicetuskan orang lain dan ingin hidup tenang. "Sudah banyak saya jumpa jenis manusia yang seperti duit syiling. Di depan lain, belakang lain dan orang-orang begini saya rasa tidak perlu dalam hidup saya. "Saya sudah banyak terkena dan jalan paling baik adalah jauhi golongan ini kerana sebenarnya saya tidak rugi apa-apa pun," katanya kepada mStar Online. Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan persembahan istimewa Jaafar dan rakan-rakan. Jaafar ditemui pada majlis pelancaran Karnival Tekstil Jaafar Onn Design Keluaran Eurotex Asia di Hotel Concorde di sini, Sabtu. Karnival itu bermula sejak 3 Februari lalu sehingga Ahad (hari ini). Dalam pada itu, Jaafar berkata, ada di antara individu yang datang berjumpa dengannya bagi meminta penjelasan berhubung perubahan sikapnya. "Saya tidak mahu mencari gaduh dengan sesiapa dan sebab itu saya 'buang' mereka-mereka ini daripada hidup saya. "Tetapi ada yang tak puas hati dan datang bersemuka dengan saya. Saya hanya minta mereka fikir sendiri tentang perbuatan mereka dibelakang saya," katanya. Jaafar ingin fokus kepada karier dan kehidupan. Tambah Jaafar, fokusnya kini adalah terhadap karier seninya yang sentiasa padat dengan pelbagai aktiviti selain memberi tumpuan kepada ibadat dan kerja-kerja amal. "Pada usia sekarang apa lagi yang saya harapkan selain ingin beribadat dan melakukan perkara-perkara baik. "Perkara remeh temeh yang lain saya tidak mahu fikir tambahan pula jadual seni saya sentiasa padat," jelasnya. Sementara itu, bercakap mengenai kolaborasinya bersama Eurotex Asia, Jaafar berkata, dia ingin mengangkat rekaan berkonsepkan warisan yang tidak lagi diberi perhatian. Antara rekaan daripada koleksi Jaafar Onn Design dan Eurotex Asia. Selain itu kata Jaafar, dia juga ingin membantu golongan peniaga baharu terutamanya ibu tunggal untuk memulakan perniagaan dengan menjual produk keluaran Eurotex Asia. "Pengalaman yang ada sebelum ini saya ingin kongsikan dan niat saya hanya satu iaitu untuk membantu menaikkan lagi industri orang Melayu. "Eurotex Asia juga membuka peluang kepada mana-mana peniaga baharu yang ingin memulakan bisnes dan kami sedia memberi tunjuk ajar. "Malah harga yang ditawarkan juga adalah sangat berpatutan dengan pelbagai pilihan," katanya.