suria

Bazli (UNIC) Kongsi Rasa Sedih Anak Hidap Kanser

Kasih seorang bapa...Bazli mengucup anaknya, Syahid yang menghidap kanser kelenjar tahap tiga. Foto Instagram @unicofficials

PETALING JAYA: Bapa mana tidak luluh hatinya apabila mendapat perkhabaran anak kesayangan mereka dimaklumkan menderita penyakit kanser.

Itu yang berlaku kepada anggota kumpulan UNIC, Bazli Hazwan Che Osman apabila anak lelakinya, Mohd Syahid yang berusia empat tahun disahkan menghidap kanser kalenjar tahap tiga pada Januari lalu.

Kelibatnya di pentas program Gema Gegar Vaganza (GGV) pada Sabtu lalu dilihat cukup bertenaga memberikan persembahan namun disebalik keceriaannya itu, Bazli, 33, sebenarnya sedang menahan perasaan kerana sentiasa terkenangkan keadaan anak kesayangannya itu.

Namun kata Bazli, dia harus kuat demi Syahid dan mengalah dengan nasib menimpa anaknya bukan satu pilihan sebaliknya dia harus bangkit dalam memastikan kanak-kanak itu akan pulih seperti sedia kala.

"Dugaan ini memang berat tetapi saya jadikan Syahid sebagai inspirasi dan sebagai bapa saya perlu mengandakan kekuatan demi mengharungi situasi sukar menimpa anak saya.

Bazli tabah mengharungi dugaan menimpa keluarganya.

"Pada saya sabar bukan bererti mengalah atau lemah semangat tetapi ia buat saya bangkit untuk melakukan yang terbaik untuk anak, isteri dan diri sendiri," katanya ketika ditemui mStar Online.

Menceritakan keadaan sebenar anak sulungnya itu, Bazli berkata, pada Disember tahun lalu Syahid kerap demam dan dia mengesan bonjolan pada bahagian lehernya.

Bagaimanapun kata Bazli, ketika itu doktor memberitahu bonjolan itu adalah beguk dan hanya diberi rawatan biasa.

"Beberapa klinik saya pergi tetapi mereka kata beguk namun keadaannya tetap tidak pulih selain demamnya berterusan.

"Apabila dibawa ke hospital doktor mengatakan Syahid terkena jangkitan kuman dan diberikan antibiotik walaupun kondisinya tetap sama.

"Sehinggalah Syahid dirujuk ke Hospital Sungai Buloh, doktor mengesan ada satu lagu bonjolan dibawah ketiaknya dan mengesyaki ia adalah kanser.

Syahid perlu menjalani dua lagi rawatan kimoterapi.

"Pihak hospital terus merujuk anak saya ke Hospital Kuala Lumpur kerana di sana ada pakar kanser untuk kanak-kanak," ceritanya.

Sehingga kini kata Bazli, Syahid sudah melakukan tiga kali kimoterapi bagi membunuh sel kanser di dalam badannya dan masih berbaki dua kali lagi rawatan itu.

"Doktor memberitahu bagi memastikan sel-sel kanser itu dimatikan sepenuhnya, Syahid perlu menjalani lima kali rawatan kimoterapi.

"Bagaimanapun jika tidak berjaya, kimoterapi itu terpaksa dilakukan sebanyak lima sesi lagi.

"Apa yang saya pinta adalah doa daripada semua semoga Syahid tabah dan diberi kekuatan mengharungi rawatannya," katanya.

Lebih memilukan, Syahid yang juga menghidap penyakit autism tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik untuk mengadu atau meluahkan rasa sakit dihadapinya.

Bazli bersama anggota UNIC membuat persembahan pada konsert minggu pertama Gema Gegar Vaganza.

Kata Bazli, kesan daripada kimoterapi, Syahid akan mengalami ulser pada bahagian mulut, rambut gugur selain badan menjadi panas dan kulitnya bertukar kusam.

"Baru-baru ini dia demam selepas melakukan kimoterapi kali ketiga. Ikut prosedur pesakit kanser, mereka perlu dirawat semula di wad hospital kerana dia dijangkiti kuman.

"Rawatan kimoterapi memang akan menghapuskan antibodi badan dan sekali gus memudahkan seseorang dijangkiti kuman dan Alhamdulillah keadaan Syahid stabil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Bazli berkata, dia terharu apabila pesaingnya dalam Gema Gegar Vaganza iaitu kumpulan Hijjaz bermurah hati mendermakan wang kemenangan mereka pada konsert mingguan pertama berjumlah RM5,000 kepada Syahid.

"Terima kasih pada Hijjaz dan Astro atas sumbangan untuk rawatan anak saya dan wang tersebut akan saya gunakan untuk keperluan Syahid pada masa sekarang atau masa hadapan," katanya.

Bagi sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban adik Syahid, sumbangan boleh dibuat kepada Mohd Fairul Zainal Abidin (Pengarah Urusan UNICDOTMYPRO) menerusi akaun RHB Bank 1581-8700-0626-40.

UNIC, Bazli, Gema Gegar Vaganza

Artikel Lain