PETALING JAYA: Penyampai radio Suria FM iaitu Fizi Ali terpaksa menolak beberapa tawaran berlakon termasuklah watak utama sebuah telefilem kerana tidak mahu dilihat seperti orang bodoh disebabkan tidak mempunyai ilmu lakonan yang cukup. Fizi, 28, berkata, buat masa ini dia lebih selesa memberi sepenuh komitmen pada kerjayanya sebagai penyampai radio yang disifatkan baru bermula dan masih dalam proses pembelajaran. "Saya hargai tawaran yang datang namun saya tidak berani ambil peluang itu kerana bimbang akan menyusahkan dan mengundang masalah kepada pelakon dan kru di set penggambaran. "Lagipun saya tidak mahu nampak macam orang bodoh tanpa ilmu lakonan yang kelaknya akan mengundang kritikan ramai dan menjatuhkan reputasi saya. Jadi, lebih baik saya tolak daripada memalukan diri sendiri," katanya kepada mStar Online. Dalam pada itu kata Fizi atau Muhd Hafizudin Alimudin ini lagi, biarpun pada awal pembabitannya dia bermula dari program realiti Pilih Kasih terbitan RTM, namun itu bukanlah tiket yang boleh memberi nilai tambah kepadanya untuk menjadi seorang pelakon hebat. Dari kiri; Halim Othman, Fizi Ali, penyanyi Wany Hasrita dan Zulin Aziz. "Sudah agak lama saya tinggalkan ilmu lakonan bersama program itu dan rasanya untuk kembali berlakon, saya harus menimba semula ilmu daripada mereka yang berpengalaman. "Sekarang, fokus saya 100 peratus hanya pada Suria FM dan selama 10 bulan di sini, saya masih dalam proses pembelajaran bagaimana untuk menjadi seorang penyampai yang baik dengan tunjuk ajar abang Halim Othman dan abang Subi (Pengurus Besar Program Suria FM). Mengenai perkembangan peribadi, Fizi yang merancang untuk menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini bersama pelakon Shakila Khoriri mengakui dia mula rasa berdebar. Debaran itu turut bertambah apabila dia juga disenaraikan sebagai Penyampai Radio Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 30 (ABPBH30). Fizi mengendalikan segmen Suria Pagi bersama Zulin Aziz dan Halim Othman dari pukul 5 pagi sehingga 10 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat. Dalam perkembangan lain Fizi bersama penyampai Suria FM yang lain akan berada di Mydin Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 15 April depan bersempena program Jelajah Suria 10 Tahun dari pukul 3 petang sehingga 6.30 petang. Antara artis yang akan hadir seperti Ajai, Zarul Husin, Salma, De Fam, Oja & Tunable Band, Irfan Haris dan Sufian Suhaimi.