suria

Penantian 13 Tahun Sheila Majid Berakhir Dengan ‘Boneka’

Sheila Majid akhirnya mengahsilkan album baharu. Foto IZZRAFIQ ALIAS

KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Sheila Majid berasa lega penantian 13 tahun untuk tampil dengan album baharu akhirnya terlaksana.

Sheila, 53, berkata, album berjudul Boneka juga adalah hadiah terbesarnya kepada peminat yang sering bertanya mengenai perkara itu.

"Sebenarnya saya tidak rasa akan tampil dengan album baharu kerana situasi industri sekarang yang tidak menentu.

"Tetapi Alhamdulillah Boneka adalah hadiah saya kepada peminat yang sentiasa bertanya mengenai album baharu saya," katanya kepada mStar Online.

Sheila ditemui pada majlis pelancaran album terbaharunya itu di Hotel Hilton di sini, Selasa.

Untuk rekod, penyanyi yang mendapat jolokan Ratu Jazz Malaysia ini kali terakhir tampil dengan album solo pada tahun 2004 berjudul Cinta Kita.

Sheila bersama album baharunya.

Bercakap lanjut mengenai Boneka, Sheila berkata, dia mengambil masa selama tiga tahun untuk menyiapkan album itu kerana ingin memastikan hasilnya dapat meninggalkan kesan dan disukai peminat.

Dedah Sheila, pada awalnya dia ingin memuatkan lima buah lagu namun pertemuannya dengan komposer dan gitaris Indonesia, Tohpati menggubah perancangannya.

"Saya telah mengumpulkan matrerial untuk album ini selama tiga tahun dan perancangan awal hanya ingin melancarkan album ini dengan lima buah lagu sahaja.

"Memang saya dapat banyak lagu daripada pelbagai komposer tetapi kebanyakannya tidak sesuai dengan kehendak saya.

"Bagaimanapun pertemuan dengan Tohpati mengubah segalanya dan akhirnya album ini mempunyai 10 buah lagu," jelasnya.

Tambahnya selepas pertemuan dengan Tohpati pada tahun lalu proses rakaman menjadi mudah dan hanya mengambil masa sembilan bulan sahaja untuk disiapkan.

Sheila bakal mengadakan konsert solo di Stadium Negara pada 5 Ogos depan.

Selain komposer Indonesia, album Boneka turut mendapat sentuhan penggubah lagu tempatan seperti Azman Abu Hassan, Kevin Chin, Omar K, Najwa Mahiaddin dan Jenny Chin.

Mengulas mengenai pemilihan Boneka sebagai tajuk albumnya, Sheila berkata, ia simbolik kepada kariernya selama 32 tahun sebagai penghibur yang seperti boneka kepunyaan khalayak sewaktu di pentas.

"Sengaja album ini saya gunakan nama boneka kerana selama ini saya meletakkan diri seperti boneka sewaktu berada di pentas untuk menghiburkan peminat.

"Dengan imej penuh glamor dan selayaknya sebagai seorang penghibur, saya adalah boneka kepunyaan khalayak ketika di pentas.

"Namun hakikatnya saya adalah manusia biasa cuma ruang pekerjaan saya yang 'high profile', jadi apa yang dipersembahkan dan ditonton itu hanya boneka," katanya.

Antara lagu dimuatkan dalam album itu ialah Melukis Dunia, Lebih Dewasa, Ku Nanti, Kasih Abadi, Kasih Kamu dan My All.

Sheila Majid

Artikel Lain