suria

Kerana Mak Cun, Erma Fatima Terima Banyak Produk IKS

Erma Fatima.

PETALING JAYA: Gara-gara watak Mak Cun, pengarah dan pelakon Erma Fatima memberitahu menerima banyak produk usahawan desa sehingga memenuhi ruang kediamannya.

Erma, 49, berkata, dia tersentuh hati dengan perkara itu dan sedaya upaya akan cuba merasai semua produk yang diberikan kepadanya.

"Rumah saya sudah seperti super market hingga nak masuk pun susah sebab terlalu banyak barang usahawan desa. Saya tidak akan buang barang-barang itu.

"Saya akan labelkan terlebih dahulu supaya saya tahu siapa punya selepas merasainya. Saya tidak sangka mereka benar-benar menghargai usaha saya walaupun hanya dalam sebuah drama," ujarnya kepada mStar Online.

Pelakon itu berkata, setakat ini dia sudah memilih kira-kira 20 buah produk untuk dipasarkan di bawah jenama Mak Cun yang dijual Mak Cun Mart.

Tambahnya, sebuah kedai fizikal bakal beroperasi pada Mei depan di Ukay Perdana, Ampang, dekat sini.

Erma Fatima mengakui watak Mak Cun itu banyak mengajarnya tentang kesusahan usahawan desa dalam memasarkan produk mereka.

Katanya, dia mengkaji proses usahawan desa untuk membawa produk mereka ke pasaraya di bandar-bandar besar.

"Saya banyak belajar daripada watak ini tentang perjuangan susah senang seorang usahawan tempatan untuk memasarkan produk mereka di bumi Malaysia.

"Saya sendiri buat kajian dan jumpa dengan pihak-pihak berkaitan semata-mata untuk menulis skrip drama itu dan dari situ saya rasa sendiri keperitan mereka.

"Disebabkan perkara itu juga, saya terpanggil untuk membantu sebarapa mampu untuk mereka," ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya tentang kerjaya lakonannya, Erma berkata, dia hanya berlakon untuk drama Mak Cun sahaja.

Katanya, dia tidak lagi berminat menjadikan bidang lakonan sebagai sebuah kerjaya seperti dahulu.

"Saya sudah lama tinggalkan bidang lakonan dan bila orang nampak saya muncul dalam drama Mak Cun, mereka fikir saya buat comeback.

"Tapi sebenarnya saya berlakon atas permintaan pihak stesen televisyen ini sahaja untuk mengembangkan watak Mak Cun," ujarnya.

Erma Fatima, Mak Cun

Artikel Sebelum

Artikel Lain