PETALING JAYA: Selepas mutu lakonannya menerusi drama Cik Serba Tahu mendapat reaksi positif, penyanyi Zarul Husin mengakui semakin jatuh cinta dengan kerjaya baharunya itu. Bagaimanapun menurut Zarul, 44, dia perlu membahagikan masa dengan bidang nyanyian yang menjadi keutamaannya selain tanggungjawab sebagai suami dan bapa. "Memang dah mula seronok berlakon dan Alhamdulillah saya mendapat beberapa tawaran lagi. "Namun saya tak boleh tamak untuk terima semua tawaran. Perlu ambil kira jadual nyanyian juga. Tambahan pula bidang lakonan menuntut komitmen masa yang panjang," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Isnin. Zarul bersama Remy Ishak menerusi drama Cik Serba Tahu. -foto Instagram @zarulumbrella Akui Zarul lagi, dia pernah menolak satu tawaran untuk membintangi sebuah drama sebanyak 50 episod kerana bimbang gagal memberi komitmen yang baik. "Saya terpaksa tolak kerana berlakon sangat memenatkan. Kalau terlibat dalam drama berepisod yang panjang, saya takut tak boleh fokus. "Daripada mengecewakan banyak pihak, lebih baik saya tolak sejak awal. Lagi pun faktor usia membuatkan saya perlu bijak bahagikan masa antara kerja dan rehat," katanya. Lakonan Zarul menerusi drama Cik Serba Tahu yang ditayangkan di Astro Ria mendapat pujian banyak pihak walaupun pertama kali terlibat dalam dunia lakonan. Walaupun muncul bersama ramai pelakon berpengalaman seperti Remy Ishak, Sari Yanti, Dynas Mokhtar, Iedil Putra dan Ako Mustapha, Zarul dilihat berjaya menjiwai watak yang digalasnya dengan baik. Bercerita lanjut mengenai bidang lakonan, vokalis kumpulan Umbrella itu berkata dia semakin 'ketagih' untuk kembali beraksi di set pengambaran jika mendapat tawaran yang bersesuaian. "Tak sangka pula lakonan saya diterima baik penonton. Rasa ketagih nak berlakon lagi apabila cubaan pertama saya dihargai. "Ini permulaan yang baik, saya sangat hargai sokongan dan maklum balas yang diberikan," katanya. Selain itu tambah Zarul, dia bakal muncul menerusi sebuah telefilem berjudul Misteri Sofa Lama pada 22 April ini menerusi saluran Astro Citra. "Ini lakonan kedua saya dan Alhamdulillah saya diberikan watak utama. Telefilem ini tentunya lebih mencabar kerana ia merupakan sebuah cerita seram. "Cerita ini lebih berat, banyak mainan emosi dan ekspresi wajah. Saya cuba lakukan yang terbaik dan harap akan mendapat komen yang membina daripada penonton," katanya. Menerusi telefilem Misteri Sofa Lama, Zarul bergandingan dengan penyanyi Intan Sarafina.