KUALA LUMPUR: Pengarah filem Mamat Khalid menjelaskan filem terbaharunya berjudul Lebuhraya Ke Neraka terperap selama enam tahun kerana dia banyak melakukan perubahan memandangkan karya itu mengangkat genre kerohanian. Mamat berkata, sebagai pengarah dia mahu memastikan garapan terhadap filem itu dilakukan dengan baik bagi membolehkan penonton merasai penceritaan yang ingin disampaikan. "Filem ini terperap lama kerana sejujurnya karya ini agak sukar memandangkan genre yang diketengahkan berbeza daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini. "Sepanjang tempoh itu juga banyak kali saya tukar fikiran dan membuat suntingan bagi memastikan ia mantap," katanya kepada mStar Online. Dari kiri Dazrin Kamaruddin, Miera Leyana, Awie, Mamat Khalid dan Tengku Iesta. Mamat ditemui pada tayangan perdana filem itu yang diadakan di GSC, Pavilion di sini, Khamis. Lebuhraya Ke Neraka menampilkan barisan pelakon seperti Datuk Awie, Dazrin Kamaruddin, Miera Leyana, Khir Rahman, Fatin Syahirah dan Pekin Ibrahim. Filem itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 4 Mei ini. Mamat berkata, filem berkenaan tidak dipotong oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF) cuma ada beberapa dialog disenyapkan bagi menjaga sensitiviti. Dalam pada itu, Mamat berkata, dia gembira apabila impiannya untuk menghasilkan sebuah filem berbentuk kerohanian tercapai selepas ia lebih dikenali menerusi karya-karya komedi. Katanya, dia menghasilkan filem itu bukan sahaja ingin memberi kesedaran kepada penonton sebaliknya kepada diri sendiri dan keluarganya. "Walaupun filem ini berbentuk kerohanian tetapi apa yang ingin saya terapkan tidak terlalu secara terang-terangan dan saya biarkan penonton untuk berfikir sendiri. "Paling penting mesej yang hendak disampaikan dapat diterima penonton," katanya.