KUALA LUMPUR: Pelakon Miera Leyana tidak menyimpan perasaan dendam terhadap bekas teman lelakinya, aktor Shahrizal Jaszle dan terbuka sekiranya digandingkan dalam drama atau filem. Miera berkata, kehadirannya pada tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka yang menggandingkan dia dengan Shahrizal bukti mereka sudah 'move on' daripada hubungan lalu. Miera sedia digandingkan dengan Shahrizal dalam drama atau filem. "Ketika berlakon dalam filem itu saya dan Shahrizal juga masih belum ada apa-apa hubungan, kami hanya bercinta selepas itu. "Industri ini kecil jadi tak payah rasanya hendak bermusuhan, lambat-laun akan berjumpa juga seperti hari ini. "Kami juga saling menyapa ketika bertemu tadi. Jadi jika ada yang hendak gandingkan kami dalam drama atau filem, saya okey sahaja," katanya kepada mStar Online. Dia ditemui pada tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka yang diadakan di GSC, Pavilion di sini, Khamis. Miera dan Shahrizal pernah menjalinkan hubungan cinta namun retak pada Februari 2012 selepas lima bulan bersama. Dalam pada itu Miera berkata, apa yang berlaku antara dia dan Shahrizal adalah satu lipatan sejarah dalam hidupnya. Sementara itu, Shahrizal yang turut ditemui senada dengan Miera dan menegaskan dia tidak mempunyai sebarang masalah dengan bekas teman wanitanya. Malah katanya, mereka pernah bergandingan dalam drama berjudul Harapan untuk RTM selepas tiga bulan berpisah. "Sebelum ini pun pernah kami bertemu dan tiada apa-apa masalah... jadi tiada isu pun," jelasnya.