suria

Mamat Khalid Stabil Selepas Dimasukkan Ke ICU

Mamat Khalid.

PETALING JAYA: Pengarah filem Mamat Khalid dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di Ampang, dekat sini, pada Jumaat selepas mengadu sesak nafas.

Bagaimanapun, isterinya, Hasmah Hassan, 54, berkata, keadaan pengarah itu semakin stabil dan tekanan darahnya juga beransur baik.

"Semalam dia mengadu sakit dada selepas balik dari kedai mamak, dia terlalu letih melayan tetamu yang datang pada majlis tayangan filemnya 'Lebuhraya Ke Neraka" hingga ke malam.

"Bangun pagi tadi (Jumaat) keadaan dia sangat lemah dan anak-anak bawa dia ke hospital kira-kira pukul 9 pagi tadi," ujarnya kepada mStar Online.

Hasmah berkata, tekanan darah suaminya terlalu tinggi dan pada tahap membimbangkan.

Katanya, setakat ini doktor masih lagi membuat pemantauan terhadap kesihatannya dari semasa ke semasa.

"Tekanan darah dia tinggi dan bimbang dia dia mendapat serangan jantung, namun Alhamdulillah, sekarang sudah semakin baik berbanding pagi tadi.

"Dia (Mamat) mahu keluar dari ICU dan duduk di wad biasa tapi doktor tidak benarkan. Mereka bimbang apa-apa berlaku terhadapnya jika berseorangan, kalau di ICU ramai yang jaga," ujarnya.

Pada November 2014, Mamat turut dimasukkan ke ICU selepas mengalami masalah jantung tersumbat.

Dalam pada itu, tambahnya, pengarah filem Hantu Kak Limah itu juga sudah mampu untuk bercakap.

Mamat Khalid, sesak nafas

Artikel Berikut

Artikel Lain