suria

“Ada Dua Lagu Pun Boleh Cari Makan” – Aiman Tino & Suffian Suhaimi

Persembahan istimewa dengan iringan pemuzik secara langsung bakal menguji kemampuan Sufian dan Aiman sebagai penyanyi.

KUALA LUMPUR: Masing-masing sekadar berbekalkan dua lagu popular untuk ‘cari makan’, ia bukan halangan buat  Sufian Suhaimi dan Aiman Tino membuat persembahan istimewa selama tiga hari berturut-turut.

Menurut Sufian, 25, sebagai penyanyi baharu dia perlu berani mencabar kemampaun diri termasuk mengadakan persembahan bersama pemuzik iringan secara langsung.

"Sebenarnya tak ada istilah terlalu baru atau lama untuk buat persembahan sebab kalau tak mulakan sekarang, kita tak akan ke depan.

"Walaupun ia merupakan tanggungjawab berat namun saya teruja untuk buat persembahan ini," katanya kepada mStar Online.

Sufian yang popular dengan lagu Terakhir dan Harus Aku ditemui selepas sidang media persembahannya bersama Aiman Tino dan Sandra Mentor di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) di sini pada Khamis.

Sufian (kiri) dan Aiman (tengah) akan menyanyikan sebanyak empat hingga lima buah lagu pada persembahan itu nanti.

Ketiga-tiga penyanyi baharu itu akan mengadakan persembahan di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTic pada 5 hingga 7 Mei ini.

Tiket persembahan itu dijual pada harga serendah RM60 untuk satu malam.

Sementara itu Aiman, 19, turut berkongsi pandangan sama berhubung kemampuannya untuk mengadakan persembahan itu nanti.

"Memang betul kebiasaannya bila seseorang penyanyi itu sudah ada album baru dia layak untuk buat showcase.

"Tapi istimewanya showcase ini ialah saya akan nyanyikan lagu-lagu artis lain.

"Mungkin juga saya akan nyanyikan lagu rock jiwang yang popular pada tahun 1990 an," katanya.

Selain itu Aiman yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci berharap para peminatnya dapat memberi sokongan terhadap persembahan itu.

"Penganjur memberi kami peluang untuk mengadakan persembahan selama tiga hari berikutan ruang yang terhad.

"Saya yakin mereka turut mengambil kira jumlah peminat bagi ketiga-tiga penyanyi yang tidak mahu melepaskan peluang ini," katanya yang turut popular menerusi single kedua berjudul Permata Cinta.

Sufian Suhaimi, Aiman Tino

Artikel Berikut

Artikel Lain