suria

Orang ‘Dekat’ Godam Instagram MonoloQue

LoQue memberitahu akaun Instagram kumpulannya, MonoloQue iaitu @monoloquerasmi digodam pihak tidak bertanggungjawab.

PETALING JAYA: Belum reda isu lagu baharu versi rakaman ‘live’ bocor di YouTube, kini kumpulan MonoloQue terus ditimpa masalah apabila akaun Instagram mereka dengan nama @monoloquerasmi digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Nasib sama turut menimpa vokalis utama MonoloQue, Khairul Ridzwan Annuar atau LoQue yang gagal mendaftar masuk ke akaun peribadinya sejak tengah hari Rabu.

“Mula-mula akaun rasmi kami digodam, pihak berkenaan menukar gambar profil dan memuat naik gambar wajah seorang lelaki berkulit gelap.

“Kemudian pada waktu tengah hari Instagram saya pula digodam. Kali ini penggodam memuat naik enam gambar kolaj yang kelihatan seperti seorang lelaki India,” kata LoQue ketika dihubungi mStar Online.

Jelas LoQue dia sudah membuat laporan kepada pihak Instagram berhubung perkara itu.

Akaun Instagram @monoloquerasmi digodam.

“Buat masa ini kami belum bercadang untuk membuka akaun baharu kerana berharap akaun lama dapat dikembalikan,” katanya.

Berdasarkan semakan akaun @monoloquerasmi mempunyai lebih 18,600 pengikut sementara Instagram peribadi LoQue dengan nama @antiloque memiliki lebih 29,000 pengikut.

Tambah LoQue, dia yakin perbuatan tidak bertanggungjawab itu dilakukan oleh pihak yang dekat dengan mereka berdasarkan beberpa insiden sebelum ini.

“Ini bukan kali pertama kejadian laman sosial digodam berlaku. Suatu ketika dahulu akaun Twitter kami juga pernah berhadapan masalah ini.

“Lebih malang pada tahun 2015 apabila lagu baharu versi rakaman live berjudul Selagi Ada Waktu telah dimuat naik ke YouTube tanpa kebenaran dan pengetahuan kami.

“Pihak berkenaan memuat naik lagu itu dengan gambar kami ketika latihan ke laman YouTube menggunakan akaun monoloqueXrasmi,” katanya.

Jelas LoQue walaupun lagu berkenaan pernah dinyanyikan ketika membuat persembahan, kumpulannya kesal apabila berhadapan situsi berkenaan.

Sementara itu bercerita mengenai perkembangan baharu MonoloQue, LoQue berkata mereka bakal tampil dengan sebuah album baharu berjudul Jangan Puja Sampai Kecewa pada Mei ini.

Lagu Selagi Ada Waktu merupakan salah satu daripada 12 lagu yang dimuatkan dalam album berkenaan.

“Album ini menampilkan kelainan dari segi teknologi bunyi yang lebih segar selari dengan muzik antarabangsa.

“Bagi kami, kualiti bunyi merupakan tanda aras baharu yang ingin kami capai dalam menghasilkan karya-karya terbaik untuk pendengar,” katanya sambil memberitahu bahawa proses mastering bagi album itu dilakukan di New York.

MonoloQue, LoQue

Artikel Lain