SUBANG JAYA: Pelakon Azrel Ismail dan Risteena Munim bakal berhadapan tuntutan saman RM1.5 juta selepas didakwa melanggar kontrak perjanjian menerusi drama Yes Sir Nak Pergi Mana. Wakil peguam JNI Creative Sdn Bhd, Mohd Fadly Hashim, berkata, tuntutan itu dikeluarkan selepas kedua-dua pelakon itu enggan menyelesaikan penggambaran sebuah drama yang berbaki 17 episod lagi sehingga menyebabkan produksi mengalami kerugian. Selain itu artis terbabit juga didakwa telah mengeluarkan kenyataan tidak benar kepada pihak media. Risteena Munim. Foto dari Instagram miliknya. "Menerusi tuntutan ini pihak produksi menuntut kembali sebanyak 30 peratus bayaran daripada keseluruhan kontrak termasuk jumlah yang telah dibelanjakan syarikat untuk menghasilkan drama itu. "Selain itu dalam tuntutan sama pihak produksi turut menuntut jumlah sepatutnya diterima syarikat sekiranya drama ini berjaya disiapkan. "Menerusi tuntutan sama pihak produksi menuntut supaya mereka menjelaskan mengenai kenyataan yang mereka keluarkan kepada pihak media berhubung dakwaan tidak menerima baki bayaran," katanya kepada mStar Online. BERKAITAN: Dakwaan Tak Benar, Produksi Kerap Tukar Lokasi Jadi Punca – Azrel Ismail Mohd Fadly ditemui pada sidang media yang diadakan di sebuah hotel di sini, Khamis. Pada 17 April lalu, Azrel bersama beberapa pelakon dan kru produksi drama itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini selepas mendakwa pihak JNI Creative Sdn Bhd gagal melunaskan bayaran kedua sebanyak 20 peratus. Tambah Mohd Fadly, notis saman sudah pun dihantar kepada kedua-dua pelakon itu pada Khamis dan pihaknya memberi masa 14 hari untuk mereka memberi respons terhadap tuntutan itu. Sementara itu, wakil produksi, Muhibuddin Ahmad berkata, bayaran yang dibangkitkan sepatutnya dibayar selepas mereka menyiapkan episod ke-15 drama itu. "Berdasarkan kontrak mereka akan dibayar sebanyak empat peringkat iaitu 30 peratus, 20 peratus selepas siap episod ke-15 dan 30 peratus lagi selepas siap 30 episod drama itu. "Manakala baki 15 peratus akan dibayar selepas majlis sidang media pelancaran drama itu nanti. JNI Creative Sdn Bhd bersama peguam mengadakan sidang media berhubung kenyataan Azrel Ismail dan Risteena Munim. "Dalam kes ini hanya 13 episod telah siap dan mereka tuntut bayaran walupun dalam kontrak sudah dinyatakan dengan jelas mengenai perkara itu," katanya. Dakwanya, Azrel ada menghubungi untuk mendapatkan bayaran kerana memberitahu sudah kehabisan wang dan pihak produksi bersetuju untuk berbincang. "Kami terkejut kerana sepatutnya perbincangan diadakan mengenai hal itu pada 18 April lalu tetapi Azrel tiba-tiba memberi kenyataan kepada media pada hari sebelumnya dengan menuduh kami enggan bayar dan dia buat laporan polis," ujarnya. Muhibuddin berkata, pihaknya terbuka untuk menyelesaikan masalah itu menerusi perbincangan di antara kedua-dua belah pihak. Mohd Fadly Hashim (kiri) dan Muhibuddin Ahmad menunjukkan surat tuntuan yang diberikan kepada Azrel dan Risteena. Malah katanya, mereka sedia untuk menarik balik tuntutan itu sekiranya mencapai persetujuan bersama. "Tuntutan ini kami buat semata-mata untuk mendapatkan kembali hak kami selain membersihkan nama syarikat. "Tetapi itu tidak bererti langsung tiada jalan untuk menyelesaikan masalah sebaliknya pintu perbincangan masih dibuka. "Perkara ini tidak akan terjadi jika Azrel datang pada pertemuan yang telah ditetapkan dan bukannya bercakap kepada media," katanya.