suria

Penulis Novel '7 Hari Mencintaku' Saman Ziela Jalil

Ziela Jalil

KUALA LUMPUR: Penulis novel 7 Hari Mencintaiku menyaman pelakon dan penerbit filem, Datuk Ziela Jalil atau Norzilah Abdul Jalil atas tuduhan memfitnah berhubung kenyataan di media sosial.

Siti Rosmizah Semail memfailkan saman itu terhadap Ziela melalui Tetuan Chambers of Rafie Mohd Shafie & Associates, di kaunter pendaftaran Mahkamah Tinggi, di sini, pada Khamis.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Rosmizah menamakan Ziela sebagai defendan tunggal.

Beliau berkata Ziela telah memuat naik, menyiarkan, menyebarkan dan menghebahkan kenyataan fitnah di laman sosial Instagram miliknya yang mempunyai 551,000 pengikut, pada 9 Februari dan 10 April lalu.

Siti Rosmizah yang juga penerbit bersama siri drama popular 7 Hari Mencintaiku, mendakwa Ziela juga telah membuat kenyataan fitnah ketika ditemubual oleh wartawan Mingguan Malaysia pada 16 April.

Plaintif mendakwa perkataan-perkataan fitnah yang dimaksudkan atau bermakna bahawa dia seorang yang tidak berperikemanusiaan dan kejam, pendusta dan orang yang tidak jujur, mementingkan diri sendiri, tanpa prinsip, tidak beretika dan tidak bermoral dan telah gagal menunaikan janji beliau.

Siti Rosmizah berkata surat tuntutan telah dihantar kepada Ziela pada 18 April lalu untuk memohon penarikan balik kenyataan, permohonan maaf dan ganti rugi akibat kata-kata fitnah dilemparkannya tetapi tidak berhasil.

Berdasarkan penyata tuntutan, plaintif menuntut injunksi bagi menghalang defendan daripada mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya melalui sebarang medium, selain ganti rugi khas, am, teladan, faedah dan kos.

Ziela Jalil, 7 hari mencintaiku

Artikel Lain