suria

Dakwaan Tak Benar, Produksi Kerap Tukar Lokasi Jadi Punca - Azrel Ismail

PETALING JAYA: Selepas berdepan tuntutan saman RM1.5 juta, pelakon Azrel Ismail memberi kenyataan dia menyangkal dakwaan menjadi punca penggambaran drama Yes Sir Nak Pergi Mana kucar-kacir ekoran sikapnya yang sering menukar jadual kerana terikat dengan projek berbeza. 

Azrel, 33, sebaliknya berkata, tindakan pihak produksi yang sering menukar kru dan lokasi menjadi penyebab penggambaran tidak mengikut jadual sehingga mengambil masa panjang untuk dihabiskan. 

"Dakwaan itu tidak benar kerana sejak awal saya sudah beritahu pihak produksi mengenai jadual dan saya ada komitmen lain. 

"Malah saya ada bukti (dalam bentuk) hitam putih mengenai perkara itu dan mereka tetap bersetuju mengambil saya berlakon. 

"Sebaliknya apa yang berlaku adalah mereka kerap menukar kru dan lokasi sehingga menyebabkan penggambaran bertukar menjadi kucar-kacir dan gagal disiapkan tepat pada waktunya," kata Azrel kepada mStar Online ketika dihubungi pada Khamis. 

BERKAITAN: Azrel Ismail & Risteena Munim Berhadapan Saman RM1.5 Juta

Syarikat produksi JNI Creative Sdn Bhd dalam satu sidang media pada Khamis, mengeluarkan notis tuntutan berjumlah RM1.5 juta terhadap Azrel dan aktres Risteena Munim atas dakwaan melanggar kontrak. 

Tuntutan itu dibuat selepas Azrel bersama beberapa pelakon dan kru produksi drama itu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang dekat sini pada 17 April lalu selepas mendakwa pihak produksi itu gagal melunaskan bayaran kedua sebanyak 20 peratus. 

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu bayaran yang dibangkitkan, Azrel berkata, dia bukan memdesak untuk mendapatkan wang itu sebaliknya sekadar bertanya bilakah pihaknya akan memperoleh bayaran dijanjikan. 

Malah kata Azrel dia sedar akan kontrak yang menyebut bayaran kedua hanya akan dibuat selepas siap 15 episod drama itu namun dengan keadaan penggambaran yang kucar-kacir membuatkan semua pelakon dan kru bimbang tidak akan memperoleh wang seperti dijanjikan. 

"Jika diikutkan 13 episod yang dikatakan sudah siap, ia tidak benar pun malah ada beberapa episod awal masih belum lengkap akibat sering tukar lokasi dan jadual. 

"Saya bukan minta wang tetapi bertanya kerana sudah dua bulan penggambaran berlangsung dan hendak tunggu sampai bila kesemua 15 episod siap?" soalnya. 

Ditanya mengenai tuntutan saman RM1.5 juta, Azrel bagaimanapun enggan mengulas kerana masih belum menerima notis saman yang dihantar kepadanya.

Mengenai kesediaan pihak produksi ingin bertemu mengenai kemelut itu, Azrel berkata dia perlu berbincang dengan pelakon dan krew lain mengenainya. 

"Sebelum ini saya ada minta untuk berbincang tetapi mereka tidak mahu tetapi saya akan berbincang dengan semua kru dan pelakon mengenai perkara itu. 

"Berhubung tuntutan saman saya tiada komen kerana masih belum dapat apa-apa surat mengenainya," ujar Azrel. 

Azrel Ismail

Artikel Lain