suria

Ramai Artis Rakam Album, Industri Nyanyian Positif – Faizal Tahir

Faizal Tahir melihat kebangkitan artis tampil dengan album penuh sebagai petanda baik untuk industri muzik tempatan. Foto RICKY LAI

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer Faizal Tahir menyifatkan kebangkitan beberapa artis yang melancarkan album penuh disifatkan sebagai satu petanda positif kepada industri muzik tempatan.

Faizal berkata, ia juga bukti masih ada permintaan daripada peminat yang mahu membeli album berbentuk fizikal walaupun era digital pada hari ini telah mengubah corak pembelian secara dalam talian.

"Pada saya ia satu perkara yang baik apabila ramai penyanyi besar seperti Dayang Nurfaizah, Datuk Sheila Majid dan Datuk Siti Nurhaliza bersemangat tampil dengan album penuh pada tahun ini.

"Rasanya sudah lama kita tidak dengar penyanyi dari Malaysia hendak tampil dengan album penuh memandangkan sekarang penghasilan single lebih popular.

Faizal lancar Anatomi pada November lalu.

"Ini bukti permintaan masih dan berharap senario ini akan berterusan dalam menghidupkan kembali industri muzik tempatan," katanya kepada mStar Online.

Faizal sendiri pada November tahun lalu melancarkan album studio berjudul Anatomi.

Sementara itu, mengulas mengenai kemenangan lagu duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza iaitu Digarhayu  menerusi trofi Grup/Duo MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2017 (AME2017) pada Ahad lalu, Faizal menganggap ia diluar jangkaan.

Malah kata Faizal, dia sebenarnya sekadar menumpang populariti Siti dan percaya undian kebanyakannya datang daripada peminat penyanyi terkenal itu.

Album baharu Dayang Nurfaizah menduduki tangga teratas carta album di iTunes selama seminggu.

"Jujurnya dapat pencalonan pun saya terkejut kerana industri sudah berubah dan ramai bakat-bakat baharu yang popular berbanding diri saya.

"Ini semua undian peminat Siti dan saya hanya menumpang popularitinya sahaja dan jika ada yang mengundi saya terima kasih saya ucapkan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Faizal berkata, dia teruja apabila bakal muncul sebagai hos sebuah program travelog iaitu Jelajah Hati untuk siaran TV1 tidak lama lagi.

Katanya, dia kembali semula ke bidang pengacaraan kerana ingin mencari kelainan dalam karier seninya.

Sheila Majid tampil dengan Boneka selepas 13 tahun tidak merakamkan album baharu.

"Selain menyanyi dan memberi fokus kepada kerja kebajikan saya ingin lakukan perkara baru dalam karier saya dan pengacaraan sesuatu yang lama ingin saya cuba.

"Alhamdulillah percubaan pertama menyeronokkan sekali gus memberi pengalaman baharu dalam kerjaya saya," katanya.

Selain itu, Faizal bakal menjayakan Konsert Nova 2017 yang turut menampilkan penyanyi Indonesia iaitu Judika, Cakra Khan, Syahrini manakala dari Malaysia Dayang Nurfaizah dan Azlan & The Typewriter.

Konsert itu bakal berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam dekat sini pada 5 Ogos depan.

Faizal Tahir, Anatomi, AME2017

Artikel Lain