KUALA LUMPUR: Tindakan pelakon Anzalna Nasir memuat naik gambar buah mangga di laman sosial instagram mengundang reaksi peminat yang menyangka dia sedang hamil. Walau bagaimanapun, Anzalna, 29, menafikan perkara tersebut, sebaliknya hanya ingin berkongsi dengan peminat mengenai buah kegemarannya itu. "Sebenarnya saya suka makan buah mangga, jadi niat saya memuat naik gambar tersebut di instagram bukan bermaksud nak beritahu saya sedang mengidam hamil. "Sebelum berkahwin tak ada isu pula kalau makan makanan masam, bila dah kahwin orang fikir begitu pula ya. Saya tak berkecil hati dengan pertanyaan peminat, sebaliknya saya menganggap mereka ambil tahu tentang diri saya kerana sayang dan tak sabar nak tengok saya memiliki anak sendiri," katanya kepada mStar Online. Foto yang dimuat naik di laman sosial instagram miliknya. Anzalna ditemui ketika pertunjukan fesyen Star Lebaran 2017 by Prima Valet yang berlangsung di Quill City Mall di sini, pada malam Ahad. Anzalna berkahwin dengan Mohamad Hanif Zaki pada 21 Februari tahun lalu. Dalam masa yang sama, Anzalna turut berharap peminat terus mendoakan agar dia dan suami dikurniakan cahaya mata secepat mungkin. "Soal anak saya serahkan kepada Allah dan kalau rezeki sampai ada lah nanti, malah saya tidak mahu terlalu ambil pusing kata-kata orang. "Saya bahagia dengan kehidupan saya dan ingin berterima kasih dengan peminat yang sentiasa mendoakan agar kami cepat menimang cahaya mata," katanya. Dalam perkembangan yang lain, Anzalna bekerjasama dengan jenama pakaian Youme&Hunny X Elrah Exclusive bagi koleksi lebaran 2017. "Saya menjadi wajah eksklusif untuk jenama tersebut dan busana ini selesa disarungkan, kainnya berkualiti tinggi dan sesuai digayakan pada bila-bila masa. "Insya-Allah perancangan akan datang mungkin saya akan keluarkan pakaian di bawah jenama sendiri," ujarnya.