SHAH ALAM: Isteri kepada penyanyi Hafiz Hamidun iaitu Joy Revfa mengakui rezekinya lebih murah selepas mereka mengikat tali pertunangan pada 22 Mac lalu. Joy, 30, berkata, selain peningkatan pengikut di media sosial, perniagaan kosmetiknya Merve juga semakin mendapat sambutan. "Alhamdulillah, sejak bertunang lalu rezeki kami mencurah-curah. Selain pengikut lebih ramai dan peniagaan kosmetik saya juga lebih dikenali. "Namun, itu bukanlah tujuan saya berkahwin dengan dia (Hafiz), kami ingin membina sebuah keluarga yang diberkati," ujarnya kepada mStar Online. Terdahulu, Hafiz selamat bergelar suaminya kepada Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Amin dengan sekali lafaz dalam sebuah majlis sederhana yang diadakan di Masjid Negeri Shah Alam, pada Isnin. Hafiz memakaikan rantai tangan kepada Joy Revfa. Joy sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun. Dalam pada itu, ditanya tentang persediaannya bergelar isteri selebriti, Joy berkata, dia sedia untuk mengharunginya bersama. "Saya sendiri sering dikritik di laman sosial, jadi tidak ada masalah tentang itu. Orang yang mengkritik itu sebenarnya memberi perhatian kepada kehidupan kami," ujarnya. Sementara itu, Hafiz berkata, dia belum ada perancangan tentang anak, sebaliknya ingin membesarkan anak tirinya bersama-sama. Bagaimanapun, dia tidak menolak jika dikurniakan cahaya mata dalam masa terdekat. "Kami belum fikir tentang anak lagi, buat masa sekarang saya ingin bersama-sama isteri membesarkan anaknya iaitu Arryan," ujarnya. Pasangan ini bakal berbulan madu di Taiwan pada minggu depan selain merancang untuk menunaikan umrah.