SHAH ALAM: Populariti mendadak yang diraih peserta Mentor Milenia 2017, Usop seperti mengulangi kembali fenomena Mawi di program realiti Akademi Fantasia 3. Mentornya Hazama, berkata, apa juga yang dilakukan oleh Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 20, itu di pentas persembahan sering mendapat perhatian penonton. "Dia seperti kembalikan fenomena yang terjadi pada Mawi dahulu yang mana orang tidak tengok dia nyanyi bagus atau tidak. "Penonton hanya mahu tengok dia sahaja, sebab itu saya keluarkan karakter dalam dirinya dan minta dia nyanyi lagu-lagu yang sesuai dengan karakternya sahaja," ujarnya kepada mStar Online. Usop bersama mentornya Hazama. Hazama berkata demikian pada sidang media selepas persembahan separuh akhir Mentor Milenia 2017 yang diadakan di Sri Pentas 2, di sini, malam Ahad. Pada acara itu, Ucop, Syeera (Black), Elica (Akim) dan Along (Tomok) berjaya mara ke peringkat akhir program realiti berkenaan. Sementara itu, ditanya tentang nama Usop disebut-sebut bakal menjuarai program berkenaan, Hazama berkata, dia tidak memikirkan soal tersebut. "Sama ada dia menang atau tidak, itu bergantung pada persembahannya malam tersebut, namun yang penting bagi saya dia sudah pun menjadi juara di hati masyarakat. "Saya juga sudah ada rancangan untuk dia selepas berkakhirnya program ini, serta mencari lagu yang sesuai untuknya," ujarnya. Sementara itu Usop berkata, dia menghargai sokongan luar biasa peminat terhadapnya sejak memasuki program realiti berkenaan. Ujar Usop, dia akan melakukan yang terbaik pada malam final program itu minggu hadapan. "Saya terharu apabila menerima sokongan peminat yang mahu melihat saya menjadi juara. Saya tidak boleh berjanji tentang itu, sebaliknya saya akan pastikan untuk beri persembahan terbaik," ujarnya.