suria

‘Awak Sangat Nakal’ Gagal Kerana Tidak Ikut Kriteria

'Awak Sangat Nakal' yang menemui penonton pada November tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Penulis novel, Awak Sangat Nakal iaitu  Syamnuriezmil memberitahu drama adaptasi itu tidak ‘boom’ kerana penghasilannya tidak menepati kriteria seperti yang digambarkan dalam novel asal karyanya itu.

Syamnuriezmil atau Nur Azyyati Abu Bakar yang juga penulis novel Tuan Anas Mikail berkata, kebanyakkan dialog yang digunakan dalam drama berkenaan ditokok tambah, tidak seperti dalam skrip asal yang ditunjukkan kepadanya.

"Saya tidak pernah mempunyai masalah dalam novel-novel saya yang diadaptasi kepada drama sebelum ini seperti  Suamiku Encik Perfect 10, Terlanjur Mencintaimu dan Tuan Anas Mikail.

"Cuma... untuk drama Awak Sangat Nakal, ia tidak mengikut kriteria seperti yang dirancang.

"Saya tidak tahu di mana silapnya, tetapi apa yang pembaca harapkan melalui drama itu, tidak sampai," ujarnya kepada mStar Online.

Syamnuriezmil 

Syamnuriezmil  ditemui pada pameran buku antarabangsa 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Selasa.

Drama Awak Sangat Nakal itu dibintangi oleh Sharnaaz Ahmad dan Ayda Jebat sebagai pelakon utama.

Ia diarahkan Azmi Hatta yang menemui penonton selama 16 episod sejak  7 November 2016 menerusi saluran Astro Ria.

Selain itu, Syamnuriezmil atau lebih mesra dengan nama Sham berkata, penulis skrip sepertinya harus lebih bijak dalam memilih pengarah sebelum menyerahkan karya mereka untuk diadaptasikan kepada drama.

"Jika kita lihat barisan pelakon drama Awak Sangat Nakal semuanya hebat-hebat, tetapi drama tidak 'boom'.

"Penulis merupakan individu utama dalam menghasilkan idea dan karya-karya hebat.

"Seelok-eloknya mereka perlu mengambil tahu secara terperinci mengenai sesuatu drama itu seperti siapa yang bakal mengarah, sebelum bersetuju untuk menyerahkan karya berkenaan," katanya.

 

Awak Sangat Nakal

Artikel Lain