PETALING JAYA: Selepas video berimej seksi yang menampakkan bahagian tertentu pada diri Izara Aishah tersebar, wanita itu akhirnya tampil membuat penjelasan. Izara dalam satu kenyataan pada pagi Selasa menjelaskan video itu merupakan sebuah rakaman pada acara lama dan bukan ketika majlis karpet merah, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 3.0 (ABPBH3.0) Ahad lalu. Malah dia sebelum ini pernah memohon maaf berhubung insiden itu selain berusaha untuk berubah ke arah kebaikan dan tidak mengulangi kesilapan sama. "Sebelum ini saya pernah meminta maaf kerana saya pernah memakai pakaian yang tidak sopan. Setelah itu, saya tidak lagi mengulanginya. "Sewaktu majlis seperti dalam video itu, ia adalah sebelum saya pernah memohon maaf kepada semua dan sejak itu (permohonan maaf) saya terus berubah ke arah kebaikan," katanya. Jelas Izara lagi, video itu sebenarnya mula dikongsi di aplikasi WhatsApp sejak Sabtu lalu sebelum ia menjadi tular di laman sosial. "Video itu mula tersebar sejak Sabtu lalu di WhatsApp dan kini ia tular di laman sosial pula. "Ia video lama di sebuah acara fesyen dan bukannya di ABPBH seperti didakwa," jelasnya. Izara Aishah Dalam pada itu, Izara berkata, dia kesal dengan penyebaran video ketika dia mengumumkan bakal bernikah dengan anak Datuk K iaitu Adib Mohd Khalid pada tahun ini. "Alhamdulillah Allah ingin menaikkan taraf saya untuk melantik saya sebagai seorang isteri tidak lama lagi tetapi setelah saya mengumumkan saya akan bernikah pada tahun ini, video lama itu mula muncul. "Walaupun saya berasa malu dan sedih dengan tindakan pihak yang menyebarkan video itu tetapi saya mengambil sepenuh tanggungjawab terhadap kelalaian diri saya sendiri. "Saya juga ingin memohon maaf kepada keluarga dan peminat serta sesiapa sahaja yang tersinggung dengan video itu," katanya. Sementara itu, Izara berkata, dia sudah memaafkan setiap individu yang telah mengaibkan dirinya. "Saya sudah pun memaafkan setiap individu yang telah mengaibkan saya. "Sekali lagi saya mohon maaf kepada semua. Ini antara saya dan kamu. Insya-Allah, suatu hari anda akan memaafkan saya. "Saya doakan yang terbaik buat semua. Terima kasih ya. Ikhlas dari hati saya. Assalammualaikum," tulisnya.