BERAT badannya yang sentiasa berlebihan sejak kecil membuatkan pelakon Raja Afiq jadi fobia jika bentuk tubuhnya akan kembali kepada asal. Mengambil masa dua tahun mendapat bentuk tubuh idamannya, Afiq, 23, berkata dia menjadi seorang yang obses dengan senaman dan kebanyakan masa terluangnya akan dihabiskan di gim. "Boleh dikatakan gim sudah seperti rumah kedua saya. Pantang ada waktu lapang memang saya akan ke sana. "Jujurnya obses dengan senaman termasuk badan sendiri kerana ingin memastikan ia mempunyai bentuk menarik dan saya tidak akan kembali gemuk seperti dahulu. Raja anggap gim sebagai rumah kedua. "Sejak kecil saya berbadan besar jadi cukup-cukuplah dan sekarang adalah masa untuk menjaga badan pula," katanya. Dalam pada itu, Afiq atau Raja Muhammad Afiq Raja Razali berkata, faktor kerjayanya sebagai pelakon juga sebagai pemangkin semangat untuk dia terus kekal dengan bentuk tubuh sekarang. "Saya bukan sahaja takut kembali jadi macam dulu tetapi ia turut memberi kesan kepada karier saya sekiranya saya tidak jaga badan. "Semasa hendak menguruskan badan pun saya mengambil masa dua tahun dan ia bukan satu proses yang mudah," ujarnya. Selain gim, Afiq berkata, dia juga gemar melakukan aktiviti riadah dan bersukan seperti bermain futsal sebagai alternatif. Pemilihan pemakanan seimbang juga amat penting kata Afiq bagi memastikan dietnya seimbang. Dalam perkembangan lain, Afiq berkata, dia kini sedang sibuk dengan penggambaran dua buah drama bersiri iaitu Cinta Koko Coklat dan Lelaki Itu Milik Hatiku untuk siaran TV3.