HASRAT penyanyi Kaka Azraf untuk berduet dengan ibu saudaranya ratu rock Ella masih belum kesampaian disebabkan kesukaran mencari lagu yang sesuai. Kaka, 28, berkata, ia bukanlah satu tugas mudah berikutan penyanyi berkenaan merupakan bintang besar dalam industri seni tanah air. "Rancangan sudah lama untuk berduet dengan Ella tapi masih belum jumpa lagu yang sesuai untuk kami nyanyi bersama. "Ia menjadi cabaran kepada saya mencari lagu yang sesuai untuk suara kami berdua. Saya tak mahu tenggelam sebab saya pasti Ella boleh tepis saya macam tu jer," ujarnya kepada mStar Online. Sementara itu, Kaka berkata, Ella turut menyerahkan tanggungjawab berkenaan kepadanya. "Ella nak lagu yang segar dan kalau boleh saya mahu lagu tersebut berkualiti dan agak berat. Saya tidak mahu ambil remeh tentang lagu itu. "Dalam kepala saya sekarang ada beberapa komposer antaranya Omar K dan Audi Mok," ujarnya. Dalam perkembangan lain, Kaka berkata, dia juga dalam proses rakaman untuk album pertamanya yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini. Katanya, biarpun mengambil masa agak lama, namun dia memastikan kualiti lagu berkenaan pada tahap yang bagus. "Dua tahun masa saya ambil untuk menerbitkan album sulung saya ini. Insya-Allah mungkin akan ada lima lagu baru dan tiga lagu lama. "Saya harap proses rakaman lagu baru berjalan lancar," ujarnya.