PELAKON Mia Ahmad memberitahu selepas berkahwin baharu dia tahu perangai sebenar suaminya, penjaga gol pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Izham Tarmizi Roslan. Mia, 29, berkata dia tidak sangka suaminya suka memasak dan membantunya dalam melakukan kerja-kerja rumah. "Sebelum kami kahwin, saya tak pernah tahu yang Izham pandai masak dan suka bantu saya mengemas rumah. Apabila dah duduk serumah ini, barulah saya tahu itu perangai sebenar dia. "Kalau suami nampak saya sibuk di dapur, terus dia datang membantu tanpa disuruh selain menawarkan diri mengemas rumah," kata Mia. Mia atau nama sebenar Shamiha Ahmad Baderi dan Izham, 26, berkahwin pada 13 Januari 2017 di Taiping, Perak. Mia dan suami belum sempat lagi berbulan madu sejak berkahwin pada Januari lalu. Foto Instagram @mia.ahm4d. Biarpun sudah hampir tujuh bulan menjadi suami-isteri, Mia masih belum berkesempatan untuk berbulan madu disebabkan jadual pasukan bola sepak suaminya yang padat. Malah, pasangan ini hanya dapat menyambut hari raya bersama selama dua hari sahaja di kampung halaman Mia yang terletak di Taiping. "Tahun pertama kami beraya bersama tapi Izham tak dapat cuti lama. Raya kedua saya dah hantar dia ke lapangan terbang untuk perlawanan seterusnya. "Sejak kami berkahwin, jadual suami terlalu padat sebab itu belum ada masa nak pergi berbulan madu. Tapi inilah cabaran berkahwin dengan pemain bola sepak dan saya kena terima. "Tapi Insya-Allah bulan Ogos atau penghujung tahun ini suami ada cuti panjang, bolehlah pergi berjalan-jalan, " ujar Mia yang teringin ke Maldives. Tahun ini merupakan tahun pertama mereka berhari raya sebagai suami-isteri.