PENYANYI dan pelakon Farahdhiya mengakui antara faktor dia masih belum bertemu jodoh adalah kerana persepsi sesetengah lelaki bujang yang menganggap dia seorang yang bercitarasa tinggi. Farahdhiya, 33, berkata disebabkan persepsi sebegitu, dia jarang didekati lelaki berstatus bujang apatah lagi yang berani menyuarakan hasrat untuk bergelar teman istimewa. "Ya, itulah antara dilema yang saya hadapi sejak dulu di mana ada di antara mereka ini (lelaki bujang) menganggap saya seorang wanita bercitarasa tinggi sehingga mereka takut untuk dekati saya. Sebaliknya saya ni biasa-biasa saja. "Pun begitu ini tidak bermakna saya nak mencari lelaki sebaliknya, tetapi itulah yang berlaku," katanya kepada mStar Online. Di satu sisi kata Farahdhiya atau Farahdhiya Mohamed Amin, dia akan sebolehnya cuba mengelak bertemu jodoh dengan lelaki berstatus suami orang. Farahdhiya menyimpan hasrat untuk memiliki sebuah restoran sendiri suatu hari nanti. Pun begitu, dia enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut kerana percaya ketentuan jodoh bukan menjadi bidang kuasanya. "Siapa yang nak berkongsi suami? Tetapi siapa pula saya untuk menentukannya kerana jodoh itu adalah rahsia Allah. "Cuma kalau ditanya secara peribadi pada saya, suami orang... No! duda tu mungkin masih boleh diterima," ujarnya ketawa kecil. Dalam pada itu, Farahdhiya yang kini dilihat sering ke dapur menyediakan pelbagai resipi menjelaskan perkara itu dilakukan bukan bertujuan untuk memikat hati mana-mana lelaki. "Sebenarnya saya seronok berkongsi resipi kepada peminat di Instagram kerana saya difahamkan ramai di antara mereka mula terinspirasi untuk 'masuk dapur' setiap kali melihat saya buat tutorial memasak biarpun resipi tersebut saya main belasah je," ujarnya. Jelas Farahdhiya, dia memasak kerana ia adalah hobi selain untuk hidangan buat ayah tersayang selain bercita-cita untuk membuka sebuah restoran suatu hari nanti.