BAGI mencetus kebangkitan peradaban Islam daripada sudut hiburan yang menepati syarak, Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (Pertama) pada malam Sabtu lalu berjaya menganjurkan 1st World Sama' Fest yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC). Disifatkan sebagai pertama kali dianjurkan di dunia mengikut garis panduan syarak yang ketat, 1st World Sama' Fest merupakan sebahagian daripada komponen Haflah Zikir Perdana Sedunia 2017. Acara ini bertindak mengumpulkan persembahan-persembahan dari beberapa benua sebagai satu tanda perpaduan Ummah selain cinta kepada Allah dan Rasulullah bersesuaian dengan tema, 'Unity In Love'. Datuk Hattan menyampaikan lagu Mahligai Syahdu dengan penuh emosi. Persembahan dimulakan dengan alunan bacaan Al Quran yang menampilkan pelajar pintar dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka sebelum diserikan lagi dengan persembahan beberapa artis tempatan antaranya Johan As'ari bersama kumpulan Suara Pertama. Kumpulan Raihan pula hadir dengan persembahan nasyid Ya Rasulullah serta penampilan istimewa Datuk Hattan mengalunkan lagu Mahligai Syahdu dan Datuk Nash dengan lagu Selimut Putih penuh perasaan. Penonton dari pelbagai negara khusyuk mendengar alunan nasyid dan qasidah dari perserta yang mengambil bahagian. Manakala peserta dari luar negara iaitu Khalwati Ushaqqi (Turki), Nur Muhammadi (Morocco), Hassan Khurshid (Pakistan) Rabitah An Nur (Syria) dan Chicago Mawleed Committe (USA) turut memberi persembahan memukau. Persembahan hampir tiga jam itu meliputi bacaan Al Quran, selawat, qasidah, nasyid dan naat yang mengandungi nasihat-nasihat agama dan pujian terhadap Allah dan Rasulullah.