SELEPAS berjaya menambat hati dengan masakan sehingga dilantik menjadi duta makanan halal di Taiwan, Datuk Fazley Yaakob kini sibuk belajar bahasa Mandarin. Cef selebriti ini berkata, dia kini dalam proses untuk menerbitkan sebuah album berbahasa Mandarin untuk dipasarkan di negara itu. "Lagu baru saya berjudul Ketiadaan akan dialih ke bahasa Mandarin. Manakala, saya sedang memilih lima buah lagu lagi untuk dijadikan sebuah album. "Insya-Allah album tersebut akan dipasarkan di Taiwan. Sekarang saya masih dalam proses belajar kerana bukan mudah untuk berbahasa Mandarin. "Syukur juga anak-anak saya pandai bercakap Mandarin dan saya jadikan mereka sebagai rujukan," ujarnya kepada mStar Online. Menurutnya, lagu-lagu Taiwan tidak mempunyai banyak bezanya dengan lagu-lagu Melayu. Fazley ditemui majlis pelantikannya sebagai duta makanan halal di Taiwan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Taiwan, baru-baru ini. Beberapa media dari Malaysia termasuk mStar Online dibawa menyertai Fazley dalam rombongan berkenaan. Fazley bakal menerbitkan sebuah album bahasa Mandarin FOTO SHAHRUL IZZAT Malah, kabanyakkan lagu yang popular di negara itu dicipta oleh komposer dari Malaysia. "Sebenarnya idea untuk buat lagu ini daripada pihak kedutaan Taiwan sendiri kerana pasaran di sana lebih luas. "Genre muzik mereka juga lebih kurang sama dengan Malaysia yang romantik. Mereka tidak macam Korea yang lebih suka kepada tarian,"ujarnya. Sementara itu, bercerita tentang masakan, Fazley berkata, dia juga dipelawa lebih 10 buah jenama makanan Taiwan yang mahu berkolaborasi dengannya. "Ramai yang tawarkan saya untuk berkolaborasi dan mengeluarkan produk berkaitan makanan di Taiwan. "Ada juga yang mahu jadi rakan kongsi dan membuka restoran saya di sini. Namun saya masih memikirkannya lagi," ujarnya. Fazley secara rasmi dilantik sebagai duta makanan halal di Taiwan pada 23 Julai lalu. Katanya, pelantikan tersebut bertujuan menepis perasaan kurang yakin dan keraguan pelancong Malaysia untuk datang ke Taiwan.