suria

'Padah' Jadinya Orang Sangka Faizal Tahir

Gambar kenangan dirakamkan empat tahun lalu antara Joe (kanan) dan Faizal Tahir di sebuah majlis sambutan hari raya.

"SAYA dah banyak kali beritahu bahawa saya bukannya Faizal Tahir," kata Joe Aziz apabila ramai orang salah faham dengan wajahnya dan penyanyi itu kerana wajah mereka seiras.

Dek kerana itu, macam-macam masalah dihadapinya apabila dia sering kali menjadi tumpuan ataupun dikerumuni orang ramai.

Menceritakan pengalamannya itu Joe atau nama sebenar Aziz Ismail, 33, berkata dia pernah dikawal oleh anggota Rela disebabkan  ramai orang berhimpit untuk bergambar dalam sebuah majlis.

"Pernah ketika saya menghadiri sebuah acara, ramai orang berhimpit-himpit nak bergambar sebab mereka ingat saya Faizal Tahir sehinggakan anggota Rela terpaksa mengawal keadaan," ujarnya kepada mStar Online.

Tambah Joe lagi, kira-kira beberapa tahun lalu semasa berada di Jengka, Pahang, seorang makcik telah mempelawanya ke rumah untuk makan tengah hari kerana menyangkakan dia Faizal Tahir.

Walaupun mencerita perkara sebenar, kata Joe makcik berkenaan tetap tidak percaya sehinggalah semasa di meja makan, anak makcik berkenaan memberitahu ibunya dia bukanlah aertis seperti disangka.

"Masa tu saya terasa malu sangat. Tengah makan di meja, tiba-tiba anak dia balik, anak dia kata, ni bukan Faizal Tahir mak," tambah Joe.

Namun begitu makcik tadi tidak kisah dan tetap menganggap dia sebagai tetamu istimewa pada hari itu.


Joe terpaksa dijaga anggota Rela gara-gara ramai yang ingat dia adalah Faizal Tahir. 

Dalam pada itu, Joe menganggap wajah seiris penyanyi lagu Gemuruh  itu satu kelebihan untuk dia mencari rezeki dalam bidang seni.

Bagaimanapun, bekas peserta Raja Lawak musim kedua ini juga mengakui dia perlu berhadapan dengan pelbagai risiko apabila membawa nama penyanyi tersebut.

"Saya anggap wajah seiras Faizal sebagai satu kelebihan untuk mencari rezeki dalam industri hiburan. Dalam pada yang sama, saya juga boleh membina nama dalam bidang seni.

"Disebabkan itu juga, saya perlu berhadapan dengan pelbagai risiko. Saya kena berhati-hati dan menjaga tingkah-laku di luar. Takut nanti nama Faizal pula yang menjadi mangsa," katanya.

Disebabkan wajah Joe seiras dengan penyanyi tersebut telah membuka peluang dia dalam bidang hiburan. 

Joe merupakan peserta kelahiran program Raja Lawak musim kedua namun tidak berjaya melepasi senarai ke-10. Selepas itu, dia tidak berputus asa menyertai program Lawak King yang disiarkan Astro pada 2008.

Semenjak itu, dia mula menceburi dunia seni dan mendapat tawaran berlakon serta mengacara sehingga kini. 

Joe bakal mengacarakan program Kais Pagi Makan Petang yang akan disiarkan bulan Oktober depan.

Selain memiliki wajah seiras penyanyi tersebut, Joe juga mempunyai bakat meniru suara dan gaya seperti Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Dr. Fadzilah Kamsah, Zizan Razak, Zamani (Slam) dan ramai lagi.

Faizal Tahir, Joe Aziz

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan