“PERNAH ke saya terasa?” Itu kata Fattah Amin apabila ditanya mengenai kenyataan pelakon Que Haidar yang menegur artis baharu sekarang seperti 'kayu'. Fattah atau nama sebenar Abdul Fattah Mohd Amin, 27, berkata kenyataan tersebut dikeluarkan secara umum dan baginya, semua orang berhak untuk memberi pendapat. "Bagi saya, tak kira orang biasa, selebriti atau peminat berhak untuk menyuarakan pendapat mereka. "Lagipun, dalam kenyataan selebriti tersebut tidak ada menyebut nama sesiapa. Jadi, perkara itu dikatakannya secara umum. "Sama juga dengan peminat yang kadang-kadang apa yang dikatakan atau komen itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu," ujar Fattah kepada mStar Online. Tegur Pelakon 'Kayu', Bukan Kerana Cemburu - Que Haidar Que sebelum ini dalam laman sosialnya menegur pelakon baharu yang tiada inisiatif meningkatkan kemahiran mutu lakonan dan masih lagi 'kayu'. Fattah Amin. Teguran itu membuatkan segelintir pihak membuat andaian ia berkemungkinan ditujukan kepada Fattah memandangkan sebelum ini dia pernah dilabelkan sebagai pelakon 'kayu'. Dalam perkembangan lain Fattah sedang sibuk menjalani penggambaran drama terbaru bertajuk Coffee Prince bersama pelakon Janna Nick. Menurut Fattah, dia tidak ada masalah untuk mencari keserasian dengan Janna kerana mereka sudah berkawan lama. "Saya dan Janna memang sudah berkawan sebelum bermula penggambaran dan pernah bekerjasama dengan klien produk yang sama. "Tapi untuk lakonan, ini kali pertama kami berganding dan Alhamdulillah tidak ada masalah untuk cari keserasian. "Malah, kami bawa hubungan persahabatan ini dalam drama supaya lebih senang untuk menjiwai watak," ujarnya.