SEMENJAK pasangan duo Azhael berpecah salah seorang anggotanya iaitu Azhar dilihat sepi daripada dunia hiburan berbanding rakan duetnya Hael Hussaini yang popular menerusi lagu Jampi. Mengakui namanya agak tenggelam namun pemilik nama sebenar Mohd Azhar Osman, 29, ini tidak pernah berasa cemburu dengan kejayaan Hael sebaliknya sudah menjangkakan sahabatnya itu akan berjaya dengan karier solo. "Sebelum lagu Jampi dilancarkan saya sudah beritahu kepada Hael lagu itu akan menjadi popular dan dia akan bejaya sebagai artis solo. "Tidak timbul isu cemburu kerana saya memang sudah menjangkakan Hael akan lebih menyerlah dan itu adalah rezekinya dan paling penting dia lakukan apa yang disukainya. "Malah saya juga tidak ada masalah dia lebih popular kerana dia layak mendapatnya atas usaha dilakukan selama ini," katanya kepada mStar Online. Azhar dan Hael Hussaini (kanan) mula dikenali menerusi kumpulan duo Azhael. Penyanyi itu ditemui pada majlis pelancaran program AF Megastar yang diadakan pada Selasa lalu. Azhar bersama 23 lagi bekas peserta Akademi Fantasia bakal berentap bagi merebut gelaran juara pada pertandingan yang bakal bermula pada 3 September depan. Untuk rekod, Azhael pernah bergelar naib juara program Akademi Fantasia 2013. Dalam pada itu, Azhar berkata, dia tidak kisah terpaksa bermula dari bawah untuk membina nama sebagai artis solo dan menyifatkan penyertaannya dalam AF Megastar dapat menjadi platform terbaik kepadanya. Indah dan Azhar antara 24 peserta yang bakal berentap dalam pertandingan AF Megastar. Kata Azhar menerusi pertandingan itu nanti dia perlu membuktikan dirinya mampu bersaing sebagai penyanyi solo namun tidak menafikan ada rasa gementar dalam dirinya. "Sebelum ini saya sudah terbiasa mengadakan persembahan dengan Hael malah ketika menyertai AF dahulu saya berdua dengannya. "Ia satu cabaran buat saya tetapi inilah masanya untuk saya buktikan kemampuan diri dan mampu bersaing sebagai penyanyi solo," ujarnya. Sedar dengan elemen kejutan dalam AF, Azhar memberitahu dia bersedia sekiranya dia perlu mendendangkan lagu milik Hael iaitu Jampi. Dalam perkembangan lain, Azhar berkata, dia sepatutnya tampil dengan single solo pertamanya namun perancangan itu terpaksa ditunda bagi memberikan tumpuan kepada AF Megastar.