NAIB Juara Akademi Fantasia 2014 (AF2014) Aman Aziz berharap tindakannya mengenakan solekan sebagai sebahagian imej bagi mempromosikan single terbaharunya, Sulit tidak menjadi pertikaian. Aman, 24, berkata, solekan berkonsepkan pop art itu bukan untuk kelihatan seperti wanita sebaliknya ia adalah satu bentuk kreatif selari dengan bidang seni yang diceburi. "Jangan salah faham dengan solekan yang saya ketengahkan ini sebab ia sekadar satu eksperimen untuk orang mengingati karya ketiga saya dan bukannya cenderung untuk tampil seperti wanita. "Pada saya kalau ada vokal yang baik belum dapat dikenali dan sebab itu saya perlu berani dengan tampil unik sudah mudah diingati," katanya kepada mStar Online. Aman ditemui di majlis pelancaran Sulit di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya pada Isnin lalu. Aman Aziz (tiga dari kiri) bersama komposer Fedtri Yahya (paling kiri) dan penulis lirik Asfan Shah (dua dari kiri) ketika pelancaran single ketiganya Sulit, pada Isnin. Dalam pada itu, Aman atau Mohammad Razman Abdul Aziz berkata, bagi menjayakan solekan itu dia menjadikan Lady Gaga sebagai sumber inspirasi. Ini kerana katanya, Gaga berjaya membawa imej pelik dan kreatif pada tahap luar biasa dan menyebabkan peminat sentiasa mengingatinya. "Saya bukannya ikut sepenuhnya imej Lady Gaga tetapi ambil inspirasi bagi mengetengahkan imej saya. "Soal kritikan saya dah sedia malah saya pernah kena lebih teruk lagi sebelum ini ketika Datuk Ramli MS bertindak sebagai juri. "Kritikan saya anggap sebagai satu pemangkin semangat untuk menjadikan saya lebih baik berbanding sebelumnya," katanya. Kata Aman, dia perlu lebih berani bereksperimentasi menonjolkan sisi kreatif dirinya sebagai anak seni menerusi single ketiganya pada kali ini. Bercakap mengenai Sulit, Aman memberitahu ia dalah sebuah lagu ciptaan Asfan Shah dan lirik oleh Ahmad Fedtri Yahya dan ia berkisarkan tentang kesukaran seseorang untuk melupakan kisah cinta lalu. Menariknya mengenai lagu itu kata Aman, perkataan sulit itu sendiri langsung tidak disebut dalam lirik lagu tersebut. Terdahulu, pemuda berasal dari Klebang, Melaka ini pernah muncul bersama dua single iaitu Without You dan Layang-Layang.