suria

Sharifah Shahirah Disangka Hamil Lagi!

GARA-GARA pertambahan berat badan mendadak, pelakon dan pengacara Sharifah Shahirah disangka hamil oleh teman rapatnya.

Shahirah atau lebih mesra dengan sapaan Shiera mengakui berat badannya bertambah hampir enam kilogram selepas melahirkan anak kelimanya, Adeena pada November tahun lalu.

"Selepas berpantang, berat badan saya turun kepada 58 kilogram tetapi sekarang naik kembali sehingga mencecah 64 kilogram.

"Pakaian yang ada pun sudah tak muat dan perlu beli baru sampaikan ada pakaian yang masih baru terpaksa dijual sebab sudah tidak boleh dipakai lagi.

"Bila berat bertambah ada pula rakan-rakan sangka saya mengandung walaupun sebenarnya lemak di perut yang naik," katanya kepada mStar Online.

Shiera ditemui pada pelancaran program Super Spontan Superstar 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur pada Isnin lalu.

Dalam pada itu, Shiera berkata, dia tidak merancang untuk menambah bilangan cahaya mata dan merasakan lima anak sudah memadai.

Kata pelakon yang mula popular menerusi drama Mat Despatch itu dia kini ingin memberi fokus kepada kerjaya seninya.

"Rasanya cukuplah lima orang anak dan sekarang saya mahu fokus kepada kerjaya dan besarkan anak-anak.

"Suami pun tak kisah mengenai soal itu cuma pernah anak sulung saya bertanya bila saya hendak mengadung lagi," katanya.

Perkongsian hidup dengan aktor Zulkfili Azahari atau Ijoy, 43, pasangan itu turut dikurniakan tiga cahaya mata lain iaitu Airell, 13, Airra, 10 dan Audrra, 8 tahun.

Manakala, Allisya, 19, adalah hasil perkahwinan pertamanya dengan Jatt yang juga vokalis kumpulan Black Dog Bone.

Sementara itu, bercakap mengenai Super Spontan Superstar 2017, Shiera akan bersaing dengan 16 peserta yang terdiri daripada selebriti dan pelawak.

"Kita tengok sejauh mana saya mampu bertahan dalam program ini, maklumlah kena bersaing dengan ramai bakat-bakat baru yang lebih hebat.

"Saya akan cuba pelbagaikan lagi lawak dan guna cara orang muda dalam berkarya dan harap-harap ia berkesan," ujarnya.

Antara selebriti yang menyertai Super Spontan Superstar 2017 ialah Achey, Rahim, Sharif Zero, Danial, Shahrol Shiro, Mamak Puteh dan Ozzlyn.

Turut bertanding adalah Shuib, Syuk Joras, Atu Zero, Fikry, Fad Bocey, Kamal Adli, Amy Mastura dan Zulin Aziz.

Super Spontan Superstar 2017 bakal bersiaran bermula 8 September ini di saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) pada setiap hari Jumaat, pukul 10 malam.

Artikel Lain