suria

Wartawan mStar Pilih Pengurus Artis Sebagai Suami

Wartawan kanan hiburan mStar Online, Kemalia Othman sah bergelar isteri kepada Mohd Asrul Abdul Talib dengan sekali lafaz pada Sabtu. Foto Ihsan Instagram @bellevyue

SIAPA sangka hubungan profesional yang terjalin di antara wartawan dan pengurus artis akhirnya membawa wartawan kanan hiburan mStar Online, Kemalia Othman dan pasangan, Mohd Asrul Abdul Talib kepada ikatan suami-isteri.

Pertama kali bertemu ketika menghadiri sidang media anjuran KRU Studios pada 2013 yang ketika itu Asrul, 32, bertugas sebagai pegawai perhubungan awam (PR), hubungan itu mula bertukar rapat yang pada akhirnya berakhir dijenjang pelamin.

Selepas empat tahun menjalinkan percintaan, Kemalia, 33, sah bergelar isteri kepada Asrul dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang diadakan di Muar, Johor kira-kira pukul 10.30 pagi, Sabtu.

Berwakil walikan bapa pengantin perempuan iaitu Othman Ibrahim, pasangan itu dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Seri Menanti Muar, Amiruddin Ismail.

Pasangan ini mula bercinta sejak empat tahun lalu.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM22.50 berserta wang hantaran yang dirahsiakan jumlahnya selain tujuh dulang daripada pengantin lelaki dan dibalas lima.

Kemalia yang sudah bergelar wartawan hiburan di mStar Online sejak lapan tahun lalu memberitahu sikap Asrul atau lebih dikenali sebagai Ash dalam kalangan rakan industri menyifatkan suaminya itu seorang yang romantik membuatkan dia jatuh hati kepadanya.

"Saya bukan seorang yang romantik dan Ash pula berlainan dan sikapnya itu membuatkan saya tertarik kepadanya selain dia menunjukkan kesungguhan dalam hubungan kami.

"Jujurnya kami jarang meluahkan kata-kata cinta tetapi sikap ditunjukkan Ash adalah sebaliknya dan paling penting dia adalah rakan baik saya.

Kemalia mengucup tangan suaminya selepas sah bergelar suami-isteri.

"Alhamdulillah selepas hampir empat tahun menjalinkan hubungan cinta kami disatukan sebagai suami-isteri dalam sebuah majlis sederhana tetapi penuh makna buat kami berdua," katanya.

Asrul yang memulakan karier sebagai PR sejak 2010 kini adalah seorang pengurus artis dan pernah bekerjasama dengan beberapa nama besar dalam industri seperti Tomok, Hazama, Black Hanafiah dan Siti Nordiana.

Dia juga adalah tulang belakang dalam menaikkan karier dua artis naungannya, penyanyi dan pelakon Amira Othman dan Nabila Razali.

Sementara itu, pasangan itu akan diraikan dalam sebuah majlis yang bakal diadakan di Bora Ombak, Putrajaya pada 15 September ini.

Kemalia Othman, Ash, mStar Online

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain