SEMENJAK akhir-akhir ini penyanyi lagu Bukan Hal Aku, Kaka Azraff dilihat lebih banyak berlakon berbanding nyanyian. Kaka bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai perancangan untuk serius dalam lakonan kerana fokus utamanya adalah kepada bidang nyanyian. "Pada saya berlakon itu minat, menyanyi pula jiwa jadi nyanyian tetap keutamaan saya. "Saya berlakon pun kerana ingin mencuba sesuatu yang lain dalam karier saya. Ia pengalaman menyeronokkan dan mengubah hidup saya. "Lakonan mengajar saya mencari sisi lain dalam diri dan ia bukan suatu perkara yang mudah untuk dilakukan," katanya. Dalam pada itu, Kaka berkata, dia ada menerima banyak tawaran berlakon namun terpaksa bersikap memilih kerana dia tidak mahu ia membayangi karier nyanyiannya. "Saya sudah berlakon dalam beberapa buah drama dan terlibat dalam tiga filem iaitu Aliff Dalam 7 Dimensi, Cinta Paradoks dan Interchange. "Menerusi tiga filem itu saya hanya pegang watak kecil sahaja manakala drama Kesempatan Kedua yang ditayangkan beberapa bulan lalu paling berat. "Saya pegang watak utama disamping Izzue Islam dan ia mencabar kerana saya perlu banyak menangis tetapi ia cabaran dan mengajar saya untuk jadi pelakon lebih baik," katanya. Sementara itu, Kaka berkata, dia kini sedang sibuk menyiapkan album pertamanya yang dijangka berada di pasaran tidak lama lagi.